Pelaburan hijau RM305 bilion buka laluan besar kepada syarikat tempatan

HomeFeaturedBusiness

Pelaburan hijau RM305 bilion buka laluan besar kepada syarikat tempatan

KUALA LUMPUR,. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mempergiat usaha mengintegrasikan syarikat tempatan ke dalam rantaian bekalan tenaga bole

Bursa dibuka rendah pada awal dagangan pagi ini
Malaysia sasar meterai MEUFTA akhir Jun 2027 – Johari
RINGGIT DIJANGKA DINIAGAKAN DALAM JULAT KECIL BERBANDING DOLAR AS MINGGU DEPAN

KUALA LUMPUR,. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mempergiat usaha mengintegrasikan syarikat tempatan ke dalam rantaian bekalan tenaga boleh baharu (TBB).

Usaha itu dilaksanakan menerusi program khusus yang menterjemahkan pelaburan hijau kepada peluang perniagaan secara langsung untuk syarikat domestik.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) MIDA, Zuaida Abdullah, berkata Program Rantaian Bekalan TBB diadakan bersempena Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau serta Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2026.

Program berkenaan menghubungkan pengilang dan penyedia perkhidmatan Malaysia dengan syarikat peneraju strategik.

Ia menampilkan sesi padanan perniagaan bersasar membabitkan 25 syarikat pembuatan dan perkhidmatan tempatan.

Syarikat berkenaan berinteraksi secara langsung dengan peneraju industri untuk memperkenalkan keupayaan masing-masing, meneroka peluang sebagai pembekal dan penyedia perkhidmatan serta menyertai projek TBB berskala besar di seluruh negara.

IGEM 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 7 hingga 9 Oktober menyaksikan MIDA menyasarkan prospek pelaburan TBB bernilai RM4 bilion.

Zuaida berkata, MIDA menyasarkan untuk menggerakkan pelaburan hijau bernilai RM305 bilion menjelang 2030.

Malaysia setakat ini merekodkan pelaburan hijau berjumlah RM45.8 bilion, termasuk RM12.5 bilion dalam sektor TBB.

“Dari 2023 hingga 2025, MIDA meluluskan pelaburan TBB berjumlah hampir RM10 bilion merangkumi projek tenaga solar, hidro mini dan biotenaga.

“Bagi separuh pertama 2026 sahaja, Malaysia meluluskan pelaburan berjumlah RM218.5 bilion yang dijangka mewujudkan lebih 99,000 pekerjaan.

“Bagaimanapun, MIDA mengukur kejayaan pelaburan bukan semata-mata berdasarkan modal yang dilaburkan, tetapi juga manfaat yang kekal di Malaysia.

“Rangka Kerja Insentif Baharu bagi sektor pembuatan memberikan ganjaran berasaskan hasil seperti pembangunan pembekal tempatan, pemindahan teknologi dan pewujudan pekerjaan berkualiti. Inilah pelaksanaan dasar perindustrian kita,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif.

Zuaida berkata, sektor TBB Malaysia perlu mengutamakan syarikat dan tenaga kerja tempatan.

Usaha itu perlu disokong dasar yang stabil, pembekal yang diyakini serta tenaga kerja berkemahiran bagi menarik pelaburan dan mewujudkan peluang perindustrian jangka panjang.

Beliau berkata, pemilik projek utama termasuk TNB Power Generation Sdn Bhd dan TNB Renewables Sdn Bhd berperanan sebagai peneraju strategik yang lazimnya menawarkan kontrak kepada syarikat kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

“Kontraktor EPCC memainkan peranan penting dalam menyelaras perolehan, pemasangan dan pengujian, selain mengenal pasti vendor tempatan bagi komponen khusus seperti modul fotovoltaik solar, penyongsang, struktur pelekap dan kabel.

“Peranan MIDA adalah untuk merapatkan jurang akses dan memastikan syarikat tempatan memenuhi piawaian teknikal serta kelayakan yang ditetapkan oleh pemaju utama,” katanya.

Inisiatif itu turut menyokong program Solar Berskala Besar Pusingan Keenam (LSS6) yang merangkumi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dengan kapasiti keseluruhan 2,650 megawatt.

Di bawah LSS6, dasar Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memberi keutamaan dalam penilaian kompetitif kepada pembida yang menggunakan modul fotovoltaik solar buatan tempatan.

Menerusi kerangka InvestLokal, MIDA menamakan lima syarikat tempatan sebagai Juara Tempatan Tenaga Boleh Baharu pada IGEM 2026 selepas mereka memperoleh kontrak bernilai tinggi daripada syarikat peneraju strategik.

Syarikat berkenaan ialah Alliance MEP Sdn Bhd dalam bidang kejuruteraan perundingan, Reactive Energy Sdn Bhd bagi integrasi grid termaju dan Deltaspec (M) Sdn Bhd untuk penyelesaian penyimpanan tenaga.

Turut menerima pengiktirafan ialah P.E.S.B. Engineering Sdn Bhd dalam perkhidmatan dan penyelenggaraan berkala serta SAA Engineering & Marine Sdn Bhd bagi keupayaan teknikal marin khusus.

“Syarikat ini membuktikan firma Malaysia mampu menyumbang lebih daripada kerja kontrak am dengan menyediakan penyelesaian bernilai tinggi yang memerlukan kepakaran teknikal pada pelbagai peringkat pembangunan TBB,” katanya.

MIDA turut menangani keperluan modal insan bagi memastikan integrasi rantaian bekalan tempatan dapat dikekalkan.

Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara menyasarkan sehingga 310,000 pekerjaan hijau menjelang 2050, selain mengenal pasti keperluan jangka panjang terhadap 62,000 pekerja mahir bertauliah.

Zuaida berkata, MIDA menggalakkan kerjasama antara industri dengan institusi akademik menerusi inisiatif peningkatan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta universiti.

Inisiatif itu termasuk PRIME Talent Hub bersama Majlis Amanah Rakyat serta pusat pendidikan pekerjaan hijau di Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

Beliau turut mengalu-alukan inisiatif hijau dan TBB yang diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027.

Inisiatif berkenaan merangkumi pelaburan RM1.5 bilion untuk membangunkan taman solar bagi bangunan kerajaan.

Peruntukan khas berkapasiti 150 megawatt di bawah LSS6 turut disediakan kepada syarikat Bumiputera bagi menggalakkan penyertaan inklusif dalam ekonomi hijau.

Tenaga Nasional Bhd akan melabur RM15 bilion bagi memperkukuh grid nasional, manakala UEM Lestra merancang pelaburan RM1 bilion untuk melaksanakan projek sistem penyimpanan tenaga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

UEM Lestra turut merancang projek tenaga hibrid berkapasiti satu gigawatt di Johor.

MIDA juga menyambut baik pengumuman Dana Iklim KWAP bernilai RM1 bilion yang akan digunakan sepenuhnya untuk projek hijau.

Insentif cukai GITA turut dilanjutkan dan ditambah baik, termasuk elaun cukai pelaburan sehingga 100 peratus hingga 31 Disember 2030 bagi menggalakkan penggunaan TBB, penyahkarbonan dan penerapan teknologi hijau.

— BERNAMA