Hubungan perdagangan Malaysia-China kekal teguh, MATRADE teroka peluang baharu di Linyi

HomeFeaturedBerita Semasa

Hubungan perdagangan Malaysia-China kekal teguh, MATRADE teroka peluang baharu di Linyi

LINYI, SHANDONG,. Hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China terus menunjukkan momentum kukuh, didorong kerjasama ekonomi dan rantaian be

PERKESO: MemPerluaskan Skim Pengembara, kepada rakyat M’sia bekerja di luar negara – DPMM
PARTI GREEN UK TERIMA PAKAI PENDIRIAN ANTI-ZIONIS, ISYTIHAR ZIONISME SEBAGAI BENTUK PERKAUMAN
Komuniti pelancongan Lembah Lenggong sedia sambut delegasi arkib antarabangsa

LINYI, SHANDONG,. Hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China terus menunjukkan momentum kukuh, didorong kerjasama ekonomi dan rantaian bekalan global yang semakin erat.

Kaunselor Menteri dan Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Kedutaan Malaysia di Beijing, Niqman Rafaee M. Sahar berkata, hubungan strategik yang erat itu diperkukuhkan lagi menerusi penyertaan pelbagai pihak berkepentingan pada Persidangan Penyumberan Antarabangsa Bandar Perdagangan Linyi edisi keempat yang bermula Rabu.

“Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China melonjak 35.1 peratus tahun ke tahun kepada RM456.68 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.

“Eksport Malaysia turut meningkat 23.7 peratus kepada RM148.56 bilion, mencerminkan pertumbuhan berterusan dalam perdagangan dua hala,” katanya dalam ucapan pembukaan pada persidangan itu hari ini.

Persidangan itu yang berlangsung daripada 28 hingga 30 Oktober disertai 131 delegasi Malaysia yang diketuai Pengarah Pusat Media Bersepadu Persatuan Kemajuan Perdagangan dan Ekonomi Malaysia-China (MCTEAA), Li Xiaoyan.

Persidangan bertemakan ‘Menghubungkan Pasaran Global, Menyumber Produk Berkualiti dari Seluruh Dunia’ dianjurkan oleh Kerajaan Rakyat Perbandaran Linyi sebagai platform utama untuk perniagaan global menjalinkan rangkaian, melaksanakan pemerolehan rentas sempadan dan pelaburan strategik.

Persidangan itu berjaya menarik lebih 5,000 pembeli dalam negara dan antarabangsa ke Linyi untuk meneroka peluang baharu dalam perdagangan antarabangsa dan rantaian bekalan rentas sempadan.

Niqman Rafaee berkata, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia, destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar manakala Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang kedua terbesar China dalam kalangan negara ASEAN.

“Di peringkat wilayah, perdagangan Malaysia dengan Shandong mencecah AS$31.9 bilion pada 2025, menjadikannya rakan dagang kedua terbesar Malaysia di China dan pasaran keutamaan bagi promosi perdagangan,” katanya.

Beliau turut menekankan potensi besar kerjasama pelaburan dalam sektor yang berkembang pesat, termasuk elektrik dan elektronik, pembuatan termaju, teknologi hijau, perkhidmatan digital serta produk industri bernilai tambah tinggi.

“MATRADE melihat peluang yang luas untuk memperkukuh akses pasaran menerusi bandar peringkat kedua yang sedang berkembang, kerjasama industri dan perkongsian strategik bagi membantu perniagaan Malaysia menembusi pasaran China,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Linyi, Yu Shengtao dalam ucapannya berkata, penganjuran acara itu membuktikan kedudukan teguh Linyi sebagai hab komersial dan logistik utama selain komitmennya untuk membuka pasaran kepada dunia.

Beliau mengalu-alukan lebih banyak perniagaan dalam negara dan antarabangsa untuk melabur serta menjadikan Linyi sebagai rakan jangka panjang bagi pembangunan ekonomi bersama.

“Selain perdagangan, penglibatan wakil Malaysia yang terdiri daripada komuniti diplomatik, media, pencipta kandungan digital dan sektor perniagaan mencerminkan kepentingan hubungan dan pertukaran antara rakyat,” kata Yu.

— BERNAMA