MESYUARAT EXCO NEGERI BINCANG EKONOMI JINGGA DIJANGKA HUJUNG NOVEMBER – FAHMI

HomeFeaturedBerita Semasa

MESYUARAT EXCO NEGERI BINCANG EKONOMI JINGGA DIJANGKA HUJUNG NOVEMBER – FAHMI

KUALA LUMPUR,. Mesyuarat peringkat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bagi membincangkan perkembangan ekonomi jingga dijangka diadakan pada

Empat maut termasuk seorang bayi dalam kemalangan di Gerik
Belanjawan 2027: Kementerian, agensi kerajaan perlu percepat pelaksanaan
RUU Warga Emas dibentang pada sesi Parlimen akan datang – Nancy

KUALA LUMPUR,. Mesyuarat peringkat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bagi membincangkan perkembangan ekonomi jingga dijangka diadakan pada minggu ketiga atau selewat-lewatnya hujung November ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata mesyuarat jawatankuasa kerja yang dicadangkan itu akan melibatkan EXCO serta menteri di peringkat negeri bagi membincangkan perkembangan ekonomi jingga di negeri masing-masing.

Fahmi berkata beliau baru-baru ini membentangkan nota mengenai cadangan penubuhan jawatankuasa berkenaan pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Beliau berkata perbincangan itu antara lain akan memberi tumpuan kepada maklum balas dan cadangan kerajaan negeri, termasuk mengenal pasti lokasi penggambaran filem, produk kraf, kumpulan kebudayaan serta pasukan animasi yang berpotensi diketengahkan dan diberi sokongan.

“Itu penting kerana kita perlu dapatkan maklum balas, pandangan, dapatan dan cadangan daripada EXCO dan menteri-menteri negeri mengenai ekonomi kreatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sumbangan Deepavali Parlimen Lembah Pantai di IWK Eco Park@Pantai Dalam di sini malam ini, anjuran Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai dengan kerjasama Minnal FM.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi berkata kerajaan memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan maklum balas daripada kerajaan negeri sebelum Majlis Ekonomi Jingga (MEJ) bermesyuarat semula.

“Jadi kita perlu sedikit masa di peringkat itu. Kita jangkakan dalam suku pertama tahun depan, Majlis Ekonomi Jingga akan bermesyuarat sekali lagi,” katanya.

MEJ yang ditubuhkan beberapa bulan lepas dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan keanggotaan melibatkan beberapa kementerian.

Terdahulu, Fahmi menyampaikan baucar bernilai RM150 kepada kira-kira 600 keluarga di Parlimen Lembah Pantai sempena Deepavali bagi membantu meringankan kos sara hidup dan persiapan menyambut perayaan itu.

Beliau berkata baucar berkenaan boleh ditebus di kedai terpilih, antaranya Checkers Hypermarket, Mydin Mart Pantai Dalam, TMC Bangsar dan Econsave Scott Garden, Jalan Klang Lama, dari 23 Okt hingga 18 Nov 2026.

Fahmi berkata kerajaan turut menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu komuniti India, termasuk peruntukan RM150 juta menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), selain masing-masing RM150 juta menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

Beliau berkata kerjasama dengan agensi berkaitan dan Minnal FM akan dipertingkat bagi meningkatkan kefahaman serta akses komuniti India kepada pelbagai program bantuan yang disediakan kerajaan.

Di Lembah Pantai, Fahmi berkata usaha turut dilaksanakan untuk menambah baik kemudahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bangsar dan SJKT Saraswathy yang dikategorikan sebagai sekolah kurang murid, termasuk menyediakan komputer riba baharu untuk makmal komputer serta menambah baik prasarana.

“Ini penting bagi saya. Saya nak dua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil ini terus berada di Lembah Pantai dan kita akan pastikan ia masih boleh terus beroperasi,” katanya.

— BERNAMA