ALOR GAJAH,. Pengalaman dan rekod pentadbiran menerajui kerajaan negeri menjadi sandaran Ketua Menteri Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh untuk mengekalkan n
ALOR GAJAH,. Pengalaman dan rekod pentadbiran menerajui kerajaan negeri menjadi sandaran Ketua Menteri Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh untuk mengekalkan negeri itu sebagai kubu Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau yang bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang dimenanginya pada PRN lepas berharap rakyat Melaka mengambil kira aspek berkenaan sebelum membuat pilihan pada hari pengundian 14 Nov ini.
“Dalam pentas demokrasi di Melaka ini, kita mengalu-alukan siapa juga calon, muda ataupun tua tetapi dalam menguruskan masyarakat, pengalaman juga dipandu untuk mengukur kecekapan kita melaksanakan amanah itu.
“Bukan (calon) orang muda tidak boleh tetapi orang muda mesti ada pengalaman yang baik. Dia mesti menggabungkan antara pengalaman dan juga kecekapan, kerana kita menguruskan pelbagai lapisan umur, orang muda sehinggalah ke warga emas. Jadi dua perkara ini penting untuk pengurusan pentadbiran yang baik,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas diumumkan sebagai calon BN bagi DUN Tanjung Bidara di pusat penamaan calon di Kompleks Japerun Tanjung Bidara di sini hari ini.
Ab Rauf akan berhadapan saingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Yunazri Mustamiri, yang membuat penampilan sulung di pentas pilihan raya.
Pada PRN Melaka ke-15, Ab Rauf menang pertarungan tiga penjuru menewaskan calon PH Zainal Hassan dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin daripada Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 364 undi.
BN menyandang kerusi Tanjung Bidara sejak kawasan DUN itu diperkenalkan pada PRN Melaka ke-11 pada 2004.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.
Bagi mendapatkan berita terikini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/
— BERNAMA

