KUALA LUMPUR,. MotoGP Sports Entertainment Group SL (MotoGP Group) menyasar meningkatkan lagi jumlah peminat sukan permotoran itu di Asia Tenggara mel
KUALA LUMPUR,. MotoGP Sports Entertainment Group SL (MotoGP Group) menyasar meningkatkan lagi jumlah peminat sukan permotoran itu di Asia Tenggara melalui kandungan dan peluang komersial, namun tidak bercadang menambah perlumbaan di rantau ini buat masa ini.
Timbalan ketua pegawai eksekutifnya Carlos Ezpeleta berkata Malaysia kekal sebagai pasaran penting bagi perlumbaan MotoGP, dengan pertumbuhan jumlah peminat kejuaraan tersebut di peringkat serantau dijangka dapat menarik lebih ramai penonton ke Litar Sepang.
“Komuniti peminat (permotoran) terus berkembang di rantau ini, namun ia tidak semestinya disokong menerusi perlumbaan.
“Pertumbuhan ini boleh berlaku melalui kandungan atau peluang komersial. Semua ini akan menarik lebih ramai peminat ke Sepang,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama bersempena dengan acara Kejuaraan Dunia Motogp Petronas Grand Prix (GP) Malaysia di Sepang pada hujung minggu lepas.
Ezpeleta mengenal pasti Vietnam dan Filipina sebagai pasaran penting yang mana MotoGP Group boleh membina kelompok peminatnya tanpa perlu menganjurkan perlumbaan di negara tersebut.
Beliau berkata buat masa ini MotoGP Group tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan negara-negara Asia Tenggara lain untuk menjadi tuan rumah perlumbaan, walaupun minat mungkin timbul pada tahun-tahun akan datang.
Ketika ini perlumbaan MotoGP di Asia Tenggara dianjurkan di Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Ditanya sama ada penganjuran perlumbaan di ketiga-tiga negara itu bersaing untuk mendapatkan penajaan dan perbelanjaan pelawat antarabangsa, beliau berkata lebih banyak perlumbaan di rantau ini akan membantu meningkatkan jumlah penonton dan bukannya bersaing mendapatkan pasaran antara satu sama lain.
“Malah, berdasarkan data yang kami peroleh, kami melihat semakin ramai peminat MotoGP yang melakukan perjalanan dari satu pasaran ke pasaran lain, yang bermaksud lebih ramai pengunjung antarabangsa.
“Selain itu, di Jepun pun, mereka menyaksikan kehadiran semakin ramai peminat dari Asia Tenggara yang datang untuk menyaksikan perlumbaan di sana,” katanya.
Ezpeleta berkata jumlah komuniti peminat yang besar serta penggunaan motosikal yang meluas di Asia Tenggara menjadikan rantau ini pasaran yang menarik, dengan pengeluar turut menyokong usaha untuk mendekati lebih ramai peminat.
Mengenai kedudukan Malaysia, beliau berkata lokasi Sepang yang berdekatan dengan lapangan terbang antarabangsa dan ibu kota Kuala Lumpur, ditambah dengan sifat mesra rakyat negara ini serta hubungan yang telah lama terjalin dengan MotoGP, menjadikan litar itu berbeza daripada venue lain.
“Malaysia telah menjadi mengisi slot perlumbaan selama lebih 25 tahun, Motogp dan juga para peminat telah selesa dengan Sepang, begitu juga jutaan peminat yang menonton di televisyen,” katanya.
Ezpeleta berkata MotoGP Group telah memberikan lebih banyak hak kepada penganjur untuk mengkomersialkan acara mereka, manakala interaksi yang lebih erat antara pelumba dan peminat akan menjadi sebahagian daripada daya tarikan mereka pada tahun depan.
Katanya, kandungan masih menjadi teras kepada strategi pertumbuhan yang lebih luas bagi MotoGP Group, termasuk mengetengahkan kisah para pelumba serta memaparkan lebih banyak maklumat mengenai pasukan dan strategi perlumbaan kepada peminat, bagi mengeratkan hubungan dengan peminat sedia ada selain menarik audiens baharu.
Apabila ditanya sama ada pendekatan ala siri dokumentari seperti ‘Drive to Survive’ dalam Formula Satu (F1) mungkin terlalu menitikberatkan aspek hiburan, Ezpeleta berkata perlumbaan akan kekal menjadi teras kepada MotoGP.
“Bagi kami, sukan ini akan sentiasa menjadi teras kepada segala yang kami lakukan. Kami menyajikan perlumbaan yang hebat, kami mempunyai sukan yang paling mengujakan di muka bumi ini, dan kami amat berbangga dengannya.
“Persoalannya kini adalah bagaimana kami boleh terus melabur untuk mempamerkan betapa hebatnya sukan ini, serta bagaimana untuk berinteraksi dengan lebih baik lagi bersama para peminat kami,” katanya.
— BERNAMA

