PUTRAJAYA,. Malaysia mahu memanfaatkan kedudukannya dalam Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman negara d
PUTRAJAYA,. Malaysia mahu memanfaatkan kedudukannya dalam Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman negara dalam pembangunan infrastruktur digital, termasuk pelaksanaan dwirangkaian 5G dengan masyarakat antarabangsa.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pengalaman Malaysia menangani cabaran kesalinghubungan, meningkatkan literasi digital dan membanteras penipuan dalam talian boleh dijadikan rujukan kepada negara lain, khususnya negara membangun.
Beliau berkata peralihan Malaysia daripada model rangkaian borong tunggal 5G kepada dwirangkaian memberikan pengalaman teknikal yang berharga dan membuka ruang untuk negara menyumbang kepada perbincangan tentang pembangunan telekomunikasi global.
“Malaysia beralih daripada rangkaian 5G yang dibuat secara borong tunggal kepada dwirangkaian. Ini satu pengalaman yang sangat mendewasakan dan tidak dilakukan di mana-mana negara lain. Jadi, ada banyak pengalaman teknikal yang telah kita pelajari,” katanya dalam temu bual bersama dengan Bernama dan RTM menjelang Persidangan Plenipotentiary ITU 2026 (ITU PP-26) di Doha, Qatar.
Fahmi yang akan mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan itu mulai hari ini hingga 11 Nov berkata negara akan bertanding semula bagi mempertahankan kerusi Ahli Majlis ITU untuk penggal 2027 hingga 2030.
“Perkara ini satu saat yang sangat penting. Tahun ini, Malaysia akan cuba untuk bertanding semula bagi kerusi Ahli Majlis ITU dan hal ini penting (kerana) platform ini memberi kita peluang untuk menyatakan pandangan, membincangkan hal-hal mengenai piawaian telekomunikasi, infrastruktur digital dan sedikit sebanyak menceritakan usaha dan kejayaan kita menyelesaikan masalah kesalinghubungan.
“Jadi, inilah peluang yang sangat baik untuk meletakkan Malaysia pada peringkat dunia, pengalaman kita dan boleh terlibat dalam banyak perbincangan penting mengenai hala tuju pembangunan infrastruktur digital di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata sekiranya dipilih semula, Malaysia berpeluang meneruskan sumbangan dalam pembentukan dasar telekomunikasi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) global, penggubalan peraturan serta piawaian antarabangsa, selain memperkukuh keserasian dan kebolehoperasian teknologi.
Fahmi berkata keahlian itu juga membolehkan Malaysia terus memainkan peranan dalam pembangunan infrastruktur digital, usaha merapatkan jurang digital serta memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang keselamatan siber.
Selain kepakaran teknikal, Fahmi berkata pendirian Malaysia yang berkecuali dalam pelbagai isu antarabangsa turut menjadi kekuatan negara untuk memainkan peranan konstruktif dalam perbincangan tentang masa depan telekomunikasi dunia.
“Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang berkecuali dalam banyak perkara pada peringkat dunia juga memainkan peranan penting dalam perbincangan kerana kita tahu dalam era geopolitik yang agak dinamik sekarang, Malaysia ialah suara yang moderate, suara yang berkecuali.
“Kita cuba menjadi negara yang menyumbang secara konstruktif dalam banyak perbincangan,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata beberapa inisiatif digital negara turut mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pulau Banggi di Karakit, Sabah yang pernah menerima hadiah utama menerusi satu daripada program ITU.
Beliau menyifatkan pencapaian tersebut sebagai pengiktirafan besar kepada Malaysia, khususnya Sabah dalam usaha memperluas manfaat teknologi digital kepada masyarakat.
Fahmi berkata Malaysia juga telah melaksanakan pelbagai program latihan bagi membantu negara membangunkan dan meningkatkan akses Internet, memperkukuh literasi digital serta menangani ancaman penipuan dalam talian.
“Dengan kedudukan Malaysia dalam ITU, terutama sebagai ahli majlis, kita ada suara untuk menyampaikan banyak pandangan dan pengalaman ini untuk manfaat negara-negara lain,” katanya.
Beliau berkata keahlian itu juga akan membolehkan Malaysia berkongsi pengalaman dalam pembangunan digital untuk dimanfaatkan oleh lebih banyak negara.
Malaysia menjadi ahli ITU sejak 1958 dan kini menganggotai Majlis ITU bagi penggal 2023-2026 yang membolehkan negara mengambil bahagian dalam merangka dasar strategik ITU serta mewakili kepentingan rantau Asia dalam bidang telekomunikasi dan infrastruktur digital.
ITU merupakan agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal ICT, termasuk pemiawaian, pengagihan spektrum radio, penyelarasan sambungan telefon dan satelit global serta berperanan merapatkan jurang digital di seluruh dunia.
— BERNAMA

