JIM REKOD KUTIPAN KOMPAUN RM91.78 JUTA SETAKAT 31 OKT

HomeFeaturedBerita Semasa

JIM REKOD KUTIPAN KOMPAUN RM91.78 JUTA SETAKAT 31 OKT

PUTRAJAYA,. Jabatan Imigresen (JIM) merekodkan kutipan kompaun sebanyak RM91.78 juta melibatkan 32,052 individu bagi kesalahan di bawah undang-undang

RM9.55 bilion projek di Pahang, KKR fokus pastikan impak dirasai rakyat
Belanjawan 2027: KPN mohon RM550.74 juta untuk inisiatif negara bangsa
59 KM JALAN PROTOKOL, UTAMA DI KUALA LUMPUR DITURAP SECARA BERPERINGKAT

PUTRAJAYA,. Jabatan Imigresen (JIM) merekodkan kutipan kompaun sebanyak RM91.78 juta melibatkan 32,052 individu bagi kesalahan di bawah undang-undang imigresen dari 1 Jan hingga 31 Okt.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi hantaran Facebook hari ini berkata daripada jumlah itu, RM50.04 juta melibatkan 2,459 majikan manakala RM41.74 juta lagi membabitkan 29,593 pendatang tanpa izin.

“Ini bermakna 54.5 peratus daripada keseluruhan nilai kompaun dikutip melibatkan majikan. Angka ini penting kerana penguatkuasaan imigresen tidak seharusnya hanya dilihat melalui tindakan terhadap pendatang tanpa izin, tetapi juga tindakan terhadap pihak melanggar peraturan penggajian warga asing,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata kehadiran warga asing atau bekerja di negara ini tanpa dokumen sah terus menjadi antara perkara menimbulkan kebimbangan masyarakat, bukan sahaja berkaitan pematuhan undang-undang imigresen tetapi juga pengurusan warga asing serta keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata kebimbangan itu wajar diberikan perhatian, namun masyarakat juga perlu memahami usaha menangani isu tersebut melibatkan pelbagai bentuk tindakan penguatkuasaan termasuk terhadap majikan yang melakukan kesalahan imigresen.

“Sudah tentu, kutipan kompaun bukan satu-satunya ukuran keberkesanan penguatkuasaan, apatah lagi penyelesaian menyeluruh kepada isu pendatang tanpa izin. Namun, ia menjadi satu daripada petunjuk bahawa tindakan terhadap pelanggaran undang-undang terus dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata usaha menangani isu pendatang tanpa izin memerlukan kerjasama masyarakat seperti menyalurkan maklumat mengenai kegiatan disyaki melanggar peraturan imigresen kepada pihak berkuasa.

Beliau menegaskan kerjasama masyarakat perlu bergerak dalam kerangka undang-undang yang jelas manakala tindakan penguatkuasaan hanya boleh dilaksanakan oleh agensi yang diberikan mandat melalui peruntukan undang-undang.

“Dua prinsip ini mesti berjalan seiring. Kebimbangan masyarakat perlu diberikan perhatian dan tindakan sewajarnya sementara setiap tindakan penguatkuasaan mesti dilaksanakan secara sah, profesional dan bertanggungjawab,” katanya.

— BERNAMA