MALAYSIA SEDIA BANTU PEMBANGUNAN SEMULA INFRASTRUKTUR LUBNAN – AHMAD ZAHID

HomeFeaturedBerita Semasa

MALAYSIA SEDIA BANTU PEMBANGUNAN SEMULA INFRASTRUKTUR LUBNAN – AHMAD ZAHID

ISTANBUL,. Malaysia bersedia membantu Lubnan untuk kembali bangkit selepas konflik yang melanda negara berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk

ANGKA KORBAN BANJIR NEPAL MENINGKAT KEPADA 903, LEBIH 4,200 MASIH HILANG
Indonesia padam kebakaran seluas 31 hektar di luar enam wilayah keutamaan
Rundingan dengan AS hanya berjaya jika hak rakyat Iran dihormati – Araghchi

ISTANBUL,. Malaysia bersedia membantu Lubnan untuk kembali bangkit selepas konflik yang melanda negara berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ini termasuklah dalam soal termasuk pembangunan semula infrastruktur dan ekonomi komuniti, bantuan kemanusiaan, latihan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kerjasama pertahanan bagi memperkukuh keupayaan dan daya tahan negara tersebut.

“Malaysia dan Lubnan mempunyai hubungan persahabatan yang cukup istimewa, khususnya melalui penglibatan pasukan pengaman negara, Batalion Malaysia (MALBATT), sejak 2007.

“Hampir dua dekad, anggota kita telah memainkan peranan penting dalam menyokong keamanan dan kestabilan di selatan Lubnan,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang kini berada di Turkiye bagi rangka lawatan kerja empat hari bermula 5 hingga 8 Nov bersempena dengan penyertaan beliau dalam Forum Dunia TRT 2026, percaya komitmen Malaysia terhadap Lubnan tidak terhenti dengan berakhirnya misi pengaman MALBATT pada Januari 2027, susulan penamatan mandat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), pada akhir tahun ini.

Sebaliknya, beliau berkata persahabatan yang dibina antara kedua-dua negara perlu diteruskan, melalui kerjasama yang membantu rakyat Lubnan membina semula kehidupan, memulihkan masa depan dan menikmati keamanan yang berkekalan.

“Keamanan bukan sekadar berakhirnya peperangan, tetapi bermulanya usaha membina semula kehidupan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengadakan pertemuan bersama dengan rakan sejawat Timbalan Perdana Menteri Lubnan Dr Tarek Mitri, selepas Forum Dunia TRT 2026 di Pusat Kongres Istanbul (ICC), semalam.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut menerima kunjungan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8) Sohail Mahmood dan bertukar-tukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara anggota, khususnya dalam mendepani cabaran ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik global.

Beliau berkata perbincangan turut menyentuh mengenai potensi pasaran yang merangkumi lebih 1.2 bilion penduduk, selain melihat D-8 mempunyai potensi besar untuk memperluas perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik antara negara anggota.

“Saya juga telah mengetengahkan potensi kerjasama dalam industri halal, TVET, keterjaminan makanan serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada masyarakat luar bandar.

“Saya percaya kekuatan D-8 bukan sekadar terletak pada saiz pasaran, tetapi pada keupayaan negara anggotanya menterjemahkan kerjasama kepada kemakmuran bersama. Malaysia akan terus komited memainkan peranan aktif bagi memastikan potensi ini dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat. Insya-Allah,” katanya.

D-8 yang ditubuhkan pada 1997 bertujuan meningkatkan kerjasama ekonomi dalam kalangan lapan negara membangun, iaitu Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Iran, Turkiye, Mesir dan Nigeria.

Ahmad Zahid berkata kedua-dua pertemuan itu, mencerminkan komitmen Malaysia terhadap penglibatan antarabangsa yang aktif dan membina, dengan terus mengutamakan dialog, persefahaman serta kerjasama praktikal dalam menyokong keamanan dan kemakmuran bersama.

— BERNAMA