VISI SAUDI 2030 PACU PEMBANGUNAN PELANCONGAN, PERUMAHAN DAN INFRASTRUKTUR

HomeFeaturedBerita Semasa

VISI SAUDI 2030 PACU PEMBANGUNAN PELANCONGAN, PERUMAHAN DAN INFRASTRUKTUR

RIYADH,. Pelaksanaan Visi Saudi 2030 terus mencatat kemajuan menerusi pelbagai inisiatif dalam sektor pelancongan, perumahan, infrastruktur dan perkhi

Perlindungan PERKESO pekerja gig aktif sebaik daftar, terima tugasan pertama
Kes bunuh Kevin Morais: Bekas patologi fail permohonan semak semula hukuman mati
Malaysia sambut baik minat Embraer teroka peluang di Malaysia, buka operasi pemasangan – Johari

RIYADH,. Pelaksanaan Visi Saudi 2030 terus mencatat kemajuan menerusi pelbagai inisiatif dalam sektor pelancongan, perumahan, infrastruktur dan perkhidmatan haji, sekali gus memperkukuh usaha Arab Saudi mempelbagaikan ekonomi, menarik pelaburan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Antara perkembangan ketara ialah pertumbuhan aktiviti komersial berkaitan pelancongan, dengan Kementerian Perdagangan Arab Saudi melaporkan peningkatan 52 peratus dalam pendaftaran perniagaan bagi aktiviti rumah penginapan pelancong kepada 18,115 setakat akhir suku ketiga 2026, berbanding 11,900 dalam tempoh sama tahun lepas.

Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), pendaftaran perniagaan bagi kemudahan penginapan pelancong turut meningkat 37 peratus kepada 18,956 berbanding 13,819 dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Pertumbuhan itu mencerminkan peningkatan peluang perniagaan dan pelaburan dalam sektor pelancongan, selain menyokong perkembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usaha memperkukuh kedudukan Arab Saudi sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Dalam sektor perumahan, Kementerian Perbandaran dan Perumahan melaporkan sekitar 90,836 keluarga Saudi telah menduduki rumah pertama masing-masing antara Januari hingga September 2026.

Daripada jumlah itu, 73,614 keluarga menerima manfaat menerusi perkhidmatan sokongan perumahan, manakala jumlah keseluruhan kontrak bersubsidi yang ditandatangani sejak pelancaran program ‘Sakani’ pada 2017 mencecah 1,068,787 setakat akhir September tahun ini.

Pencapaian itu menyokong sasaran Visi Saudi 2030 untuk meningkatkan kadar pemilikan rumah dalam kalangan keluarga Saudi kepada 70 peratus menjelang 2030.

Sementara itu, Riyadh mencatat satu lagi pencapaian antarabangsa apabila Pusat Projek Infrastruktur Wilayah Riyadh disenaraikan antara empat inisiatif terbaik dunia dalam kategori tadbir urus dan ekonomi pada Anugerah Bandar Pintar Dunia 2026 di Barcelona, Sepanyol.

Pengiktirafan itu diberikan menerusi pelan induk menyeluruh bagi projek infrastruktur di wilayah Riyadh, yang dipilih daripada lebih 533 penyertaan melibatkan 68 negara.

Pusat itu turut mengetengahkan pelbagai penyelesaian digital termasuk platform data geospatial, pemetaan interaktif projek infrastruktur dan sistem pemantauan pintar bagi meningkatkan kecekapan penyelarasan serta pelaksanaan projek pembangunan bandar.

Dalam perkembangan berkaitan, Metro Riyadh turut disenaraikan antara empat projek pengangkutan terbaik dunia pada acara sama, sekali gus mengiktiraf kemajuan Arab Saudi dalam membangunkan sistem pengangkutan awam moden dan mampan.

Dalam sektor perkhidmatan haji pula, Kementerian Haji dan Umrah dengan kerjasama Program Khidmat Tetamu Allah menganjurkan Persidangan dan Pameran Haji edisi keenam di Jeddah dari 8 hingga 11 Nov, sebagai antara inisiatif di bawah Visi Saudi 2030.

Program itu menghimpunkan lebih 520 agensi kerajaan, entiti sektor swasta dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, dengan penyertaan dari lebih 150 negara.

Acara berkenaan meliputi kawasan pameran seluas lebih 67,000 meter persegi dan menampilkan lebih 15 zon serta program utama.

Penganjurannya turut disokong inisiatif pembangunan kapasiti sumber manusia menerusi pelaksanaan program latihan yang merangkumi 11 latihan bagi petugas pejabat urusan haji dan ketua kumpulan jemaah menjelang musim haji 1448H (2027).

Program itu memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran kepimpinan dan operasi termasuk pengurusan pengangkutan, pergerakan jemaah, penginapan, pemakanan, perkhidmatan di tempat suci, kesihatan, komunikasi serta pengurusan risiko dan kecemasan.

Inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan kecekapan petugas dan mutu perkhidmatan kepada jemaah, selaras dengan usaha kerajaan membangunkan ekosistem haji dan umrah yang lebih cekap, bersepadu serta mengutamakan pengalaman jemaah.

Pada masa sama, usaha memperkukuh kedudukan Riyadh sebagai pusat penganjuran acara dan kerjasama antarabangsa turut diteruskan menerusi persiapan Ekspo 2030 Riyadh, dengan Pakistan secara rasmi menandatangani kontrak penyertaan pada 5 Nov.

Menurut SPA, lebih 185 peserta rasmi telah mengesahkan penyertaan dalam Ekspo 2030 Riyadh, manakala persiapan pembangunan infrastruktur terus terus berjalan di tapak seluas enam juta meter persegi.

Secara keseluruhan, perkembangan dalam pelbagai sektor itu mencerminkan usaha berterusan Arab Saudi merealisasikan Visi Saudi 2030 dengan memberi tumpuan kepada kepelbagaian ekonomi, peningkatan daya saing, pembangunan infrastruktur, pemerkasaan sektor swasta serta penambahbaikan mutu perkhidmatan kepada rakyat dan pengunjung antarabangsa.

— BERNAMA