BELANJA RIBUAN RINGGIT DEMI PASTIKAN ‘RODA’ KERETA LEMBU TERUS BERPUTAR DI MELAKA

HomeFeaturedBerita Semasa

BELANJA RIBUAN RINGGIT DEMI PASTIKAN ‘RODA’ KERETA LEMBU TERUS BERPUTAR DI MELAKA

MELAKA,. Kecintaan terhadap warisan kereta lembu mendorong Samsudin Abdul, 50, sanggup membelanjakan ribuan ringgit setiap bulan demi memastikan penga

Trump bayangkan perang Iran mungkin berakhir sebelum lawatan ke China
Belanjawan 2027: KPM manfaat hampir RM69 bilion, kebajikan murid dan guru jadi keutamaan
Projek rakyat diteruskan, KKR sedia laras skop hadapi kekangan kos – Alexander

MELAKA,. Kecintaan terhadap warisan kereta lembu mendorong Samsudin Abdul, 50, sanggup membelanjakan ribuan ringgit setiap bulan demi memastikan pengangkutan tradisional yang pernah menjadi identiti negeri Melaka itu terus dipelihara dan tidak luput ditelan zaman.

Bagi anak jati Melaka itu, wang ringgit bukan ukuran apabila usaha memelihara warisan berkenaan dianggap sebagai tanggungjawab untuk memastikan generasi akan datang terus mengenali keunikan dan nilai sejarah kereta lembu.

“Kereta lembu ini amat sinonim dengan Melaka, malah jika kita menyelusuri sejarah negeri ini, tidak boleh kita ketepikan bahawa kereta lembu ini mempunyai peranan dan kesan yang sangat signifikan dengan Melaka sebagai alat pengangkutan, terutamanya pada ketika Melaka menjadi pusat dagangan tumpuan dunia dahulu.

“Sehingga hari ini, jika kita sebut sahaja Melaka, pastinya orang akan mengaitkannya dengan kereta lembu, cuma bezanya kini ia tidak lagi kelihatan beroperasi di lokasi-lokasi seperti Bandar Hilir dan Ayer Keroh, yang telah berhenti beroperasi pada 2000,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Tambak Bugis, Telok Mas di sini.

Samsudin berkata selepas 26 tahun sejak semua pengusaha menamatkan operasi, hanya dirinya merupakan segelintir kecil orang Melaka yang masih mengusahakan kereta lembu, selain mempunyai bengkel sendiri untuk melakukan baik pulih atau penyelenggaraan kenderaan berkenaan.

“Kita pun bukanlah dijadikan sumber pendapatan sangat pun, kerana kita beroperasi secara sendiri di sekitar kampung ini dan tidak ramai pelancong mengetahui kewujudan kami kerana hebahan pun dilakukan di platform media sosial persendirian sahaja.

“Cuma kita melakukan ini lebih kepada memelihara warisan, mahu memastikan pengangkutan unik ini terus hidup di negeri ini,” katanya.

Mengenai kos ditanggung untuk terus mengusahakan pengangkutan kereta lembu di Melaka secara sendirian, Samsudin berkata dia mengeluarkan kira-kira RM2,000 duit poket sendiri setiap bulan.

“Ini merangkumi penjagaan, makanan lembu, vitamin, dedak dan garam, vaksin, tidak kira lagi mengenai penyelenggaraan kereta lembu itu sendiri.

“Kereta lembu itu yang kita bina menggunakan kayu jenis resak memang mampu bertahan puluhan tahun, namun ia tetap memerlukan penjagaan rutin terutamanya melibatkan roda dan kerosakan-kerosakan rutin akibat penggunaan,” katanya.

Dalam pada itu, Samsudin turut menzahirkan harapan supaya inisiatif bersama komuniti kecil pengusaha kereta lembu yang masih ‘bernyawa’ di Melaka itu mendapat sokongan pihak berkaitan.

“Usaha kita ini untuk mengangkat warisan negeri, jadi saya harap mana-mana pihak berkaitan, yang masih sayangkan identiti negeri ini, kita boleh duduk semeja, berbincang mencari jalan terbaik, supaya dapat bersama-sama memainkan peranan mempertahankan keunikan pengangkutan tradisional ini daripada lenyap.

“Antaranya kita mahu sokongan dan bantuan dari aspek mempromosi kereta lembu ini sebagai satu daripada tarikan pelancong di Melaka, terutamanya menerusi platform media sosial, selain jika boleh dapatkan satu lokasi khas untuk kami pengusaha berkumpul dan beroperasi semula,” katanya.

Bagi mereka yang berhasrat merasai pengalaman menaiki kereta lembu sambil menikmati suasana kampung di Melaka, Samsudin berkata orang ramai boleh menghubunginya menerusi platform TikTok Batrisya Empire Group.

“Harga kita tawarkan ialah RM80 bagi empat hingga lima individu dalam satu trip kereta lembu selama 25 minit perjalanan di sekitar kawasan kampung ini,” katanya.

— BERNAMA