850 JAWATAN QANTAS DIJANGKA TERJEJAS SUSULAN PEMINDAHAN TUGAS KEPADA FIRMA LUAR

HomeFeaturedBerita Semasa

850 JAWATAN QANTAS DIJANGKA TERJEJAS SUSULAN PEMINDAHAN TUGAS KEPADA FIRMA LUAR

SYDNEY,. Kumpulan penerbangan Australia, Qantas pada Selasa memaklumkan bahawa kira-kira 850 jawatan korporat di negara itu dijangka terjejas susulan

Tarif baharu AS “tidak masuk akal” – Timbalan PM Australia
Banjir di Perlis, Pahang hampir pulih, mangsa di Perak, Selangor terus menurun
Tugas pertahan kedaulatan negara tanggungjawab bersama – Khaled

SYDNEY,. Kumpulan penerbangan Australia, Qantas pada Selasa memaklumkan bahawa kira-kira 850 jawatan korporat di negara itu dijangka terjejas susulan perjanjian baharu dengan firma perunding Accenture, yang menyaksikan sebahagian besar tugas dipindahkan kepada pasukan di India, lapor Xinhua.

Qantas Group dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kerjasama strategik selama beberapa tahun itu bertujuan memodenkan sistem dalaman, proses kerja dan pengurusan data syarikat, seiring dengan peningkatan pelaburan dalam teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Menerusi perjanjian itu, beberapa perkhidmatan korporat yang pada peringkat awal merangkumi kewangan, perolehan, sumber manusia dan pemasaran akan diserahkan kepada Accenture, dengan sebahagian besar tugas dikendalikan oleh pasukannya di India dan selebihnya di Australia.

Menurut Qantas, perkhidmatan berkenaan juga akan melalui perubahan secara berperingkat menerusi penggunaan teknologi automasi dan AI.

Jawatan yang dijangka terjejas itu mewakili kira-kira tiga peratus daripada keseluruhan 28,000 tenaga kerja Qantas di Australia.

Syarikat penerbangan itu memaklumkan bahawa rundingan akan diadakan dengan pekerja yang terjejas serta kesatuan sekerja mereka sebelum sebarang keputusan mengenai kedudukan pekerjaan masing-masing dibuat.

Perubahan pertama dijangka dilaksanakan menjelang pertengahan 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif Qantas Group Vanessa Hudson berkata syarikat tidak boleh terus mengekalkan kaedah operasi sedia ada ketika semakin banyak organisasi di seluruh dunia memanfaatkan teknologi dan AI untuk memperbaharui operasi masing-masing.

Beliau mengakui kesan langkah berkenaan terhadap pekerja yang terlibat dan berkata Qantas akan berusaha menempatkan semula mereka dalam jawatan lain jika boleh, selain menyediakan latihan kemahiran baharu, latihan semula serta bantuan sokongan.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Qantas Group, yang turut merangkumi syarikat penerbangan tambang rendah Jetstar, memaklumkan bahawa pihaknya akan terus melaraskan tambang dan kapasiti penerbangan sebagai tindak balas terhadap peningkatan kos bahan api.

Pada Ogos lepas, Qantas Group melaporkan keuntungan selepas cukai berkanun sebanyak AUD1.289 bilion (US$892.4 juta) bagi tahun kewangan 2025-2026, susut 19.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

— BERNAMA-XINHUA