ISTANBUL,. Iran pada Selasa menolak dakwaan Perancis bahawa negara itu terlibat dalam serangan siber di Perancis, sambil menyifatkan dakwaan berkenaan
ISTANBUL,. Iran pada Selasa menolak dakwaan Perancis bahawa negara itu terlibat dalam serangan siber di Perancis, sambil menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak berasas, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Iran menafikan sebarang penglibatan dan mengecam pendekatan Perancis yang disifatkan sebagai menuduh Tehran tanpa asas.
Kementerian itu berkata Iran akan mengambil langkah yang dianggap perlu bagi melindungi kepentingan dan keselamatan negara daripada tindakan asing yang “menyalahi undang-undang”.
Respons itu menyusul selepas Perancis mendakwa pada Isnin Iran melancarkan serangan siber yang menyasarkan pengawal sistem penyejukan di lebih 700 premis peruncitan pada malam 11 hingga 12 Okt.
Kementerian Luar Perancis berkata serangan itu menyebabkan kerosakan harta benda yang meluas, kebakaran serta kerugian makanan yang dianggarkan bernilai puluhan juta euro.
Paris berkata pihaknya akan memanggil Duta Iran dan menggesa Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan baharu terhadap individu serta entiti Iran yang terlibat dalam serangan berkenaan.
Perancis turut menyatakan bahawa pihaknya tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan lanjut sebagai tindak balas terhadap insiden itu.
— BERNAMA-ANADOLU

