LOJI TENAGA NUKLEAR PERTAMA BANGLADESH MULA BEKALKAN ELEKTRIK SECARA PERCUBAAN

HomeFeaturedBerita Semasa

LOJI TENAGA NUKLEAR PERTAMA BANGLADESH MULA BEKALKAN ELEKTRIK SECARA PERCUBAAN

DHAKA,. Bangladesh mula menyalurkan 350 megawatt (MW) elektrik daripada loji tenaga nuklear pertamanya ke grid nasional secara percubaan buat kali per

Malaysia bantu ekstradisi warga Bangladesh dikehendaki AS dalam kes pemerasan seks antarabangsa
Pindaan Akta 800 berkuat kuasa hari ini, beri manfaat lebih tujuh juta pencarum – PERKESO
BAKAT MUDA MENYINAR: MALAYSIA BOLEH BERBANGGA PENCAPAIAN DI WORLDSKILLS SHANGHAI 2026

DHAKA,. Bangladesh mula menyalurkan 350 megawatt (MW) elektrik daripada loji tenaga nuklear pertamanya ke grid nasional secara percubaan buat kali pertama, lapor agensi berita Jerman dpa.

Suruhanjaya Tenaga Atom Bangladesh dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa bekalan elektrik dari satu daripada dua unit Loji Tenaga Nuklear Rooppur itu bermula pada 3.16 petang (0916 GMT).

Loji yang dibiayai Rusia itu dibina di bandar Ishwardi, daerah Pabna, lebih 150 kilometer ke barat laut ibu negara Dhaka.

Elektrik yang dijana pada peringkat awal dijadual disalurkan ke grid nasional selama kira-kira lapan hingga 10 jam bagi memantau prestasi dan kestabilan turbin, penjana serta sistem operasi loji yang disambungkan ke grid berkenaan.

Loji itu kemudian akan diputuskan sementara daripada grid bagi menjalani ujian teknikal sebelum disambungkan semula selepas kira-kira 28 jam untuk tempoh empat hingga enam jam bagi melengkapkan ujian lanjut, menurut kenyataan itu.

Ketua Nuclear Power Plant Company Bangladesh Limited, Zahedul Hasan berkata penyambungan loji itu ke grid nasional tidak bermakna operasi komersialnya telah bermula.

Syarikat berkenaan bertanggungjawab menyelia operasi komersial loji itu.

“Ini merupakan ujian teknikal penting bagi menilai keserasian bekalan elektrik yang dijana loji dengan grid nasional, selain keupayaan grid menerima bekalan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata fasa ujian seterusnya akan diteruskan sekiranya keputusan penyambungan percubaan itu memuaskan.

Operasi komersial dijangka bermula selepas fasa percubaan selama 10 bulan, selaras dengan perjanjian bersama kontraktor Rusia.

Bangladesh membangunkan dua unit penjanaan tenaga nuklear, masing-masing berkapasiti 1,200 MW, dengan sokongan kewangan dan teknikal Rusia menerusi Perjanjian Kredit Antara Kerajaan bernilai US$12.65 bilion yang ditandatangani pada 2015.

Projek berkenaan dijangka memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat di Bangladesh, menjamin keselamatan tenaga serta menyokong penjanaan elektrik yang mampan.

— BERNAMA-dpa