SHANGHAI,. Penyertaan Malaysia dalam WorldSkills Competition (WSC) Shanghai 2026 mencatat kejayaan bersejarah buat negara dalam sektor Pendidikan dan
SHANGHAI,. Penyertaan Malaysia dalam WorldSkills Competition (WSC) Shanghai 2026 mencatat kejayaan bersejarah buat negara dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dengan pencapaian keseluruhan terbaik sejak negara mula menyertai pertandingan berprestij peringkat dunia itu pada 1995.
Kontinjen negara berjaya meraih satu pingat gangsa dalam Pengujian Perisian dan 13 bagi Pingat Kecemerlangan, sekali gus mencatat kadar kejayaan dua pertiga apabila apabila 14 daripada 22 peserta muda negara berjaya memperoleh pengiktirafan di peringkat dunia.
Pencapaian membanggakan ini menunjukkan lonjakan ketara berbanding edisi 2024 di Lyon, Perancis, apabila Malaysia membawa pulang satu pingat gangsa dan empat Pingat Kecemerlangan, sekali gus mencerminkan perkembangan signifikan dalam tahap kemahiran serta penguasaan teknikal belia negara.
Penyertaan di Shanghai turut menyaksikan belia Malaysia menempatkan diri dalam 10 terbaik dunia bagi 11 bidang kemahiran, iaitu tempat keempat dunia dalam Teknologi Kenderaan Rel, Elektronik dan Bakeri (kelima), Pembinaan Digital dan Seni Permainan Digital 3D (keenam), Teknologi Fesyen (ketujuh), Pemasangan Elektrik (kelapan), Kimpalan, Kulinari dan Dandanan Rambut (kesepuluh).
Prestasi cemerlang di pentas dunia ini meneruskan momentum kecemerlangan Malaysia di peringkat serantau, susulan kejayaan negara muncul juara keseluruhan WorldSkills ASEAN Manila 2025 dengan 13 pingat emas dan tempat ketiga di WorldSkills Asia Taipei 2025 dengan lima pingat emas.
Pencapaian bersejarah ini mencerminkan persediaan yang tersusun dan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun, merangkumi latihan intensif secara bootcamp di pusat kemahiran tempatan serta pendedahan melalui penyertaan dalam pertandingan persahabatan peringkat antarabangsa di negara seperti China, Australia, Rusia dan Perancis.
Pencapaian ini turut menyerlahkan sinergi kukuh antara pelbagai kementerian utama, termasuk Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, yang bekerjasama di bawah Majlis TVET Negara dalam usaha melahirkan tenaga mahir bertaraf dunia.
WSC Shanghai 2026 turut membuka ruang strategik yang signifikan bagi pembangunan TVET Malaysia pada masa hadapan melalui jalinan kerjasama dengan industri antarabangsa di Shanghai, termasuk tajaan latihan tahunan kepada 50 pengajar TVET Malaysia oleh syarikat percetakan 3D terkemuka China, Shining 3D Co Ltd, selain peluang latihan kepada pelajar GIATMARA bersama syarikat teknologi Shanghai, Beice Technologies Ltd.
Malaysia turut menyerlahkan kepimpinan dalam inovasi digital apabila alat pengajaran berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) terpilih antara 29 projek terbaik di peringkat dunia untuk dipamerkan menerusi platform WorldSkills Skill Collab dan dibentangkan pada WorldSkills Conference yang diadakan bersempena WSC Shanghai 2026.
Menjelang WSC akan datang di Aichi, Jepun pada 2028, Malaysia menyasarkan untuk memperluas penyertaan dengan bertanding dalam sekurang-kurangnya 32 bidang kemahiran, iaitu 50 peratus daripada keseluruhan 64 bidang kemahiran yang dipertandingkan, selain meneruskan usaha untuk meraih pingat emas pertama negara.
WSC Shanghai 2026 menyaksikan kontinjen Malaysia diwakili 22 peserta dalam 21 bidang kemahiran, meliputi pelbagai sektor teknikal di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan KKR.
Kejohanan yang berlangsung dari 22 hingga 27 Sept 2026 itu menghimpunkan 1,400 tenaga mahir dari 65 negara dan wilayah, yang bertanding dalam 64 bidang kemahiran.
— BERNAMA

