DOHA,. Malaysia dan Qatar memperkukuh hubungan budaya dan pendidikan menerusi inisiatif pertukaran buku antara Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan
DOHA,. Malaysia dan Qatar memperkukuh hubungan budaya dan pendidikan menerusi inisiatif pertukaran buku antara Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Qatar National Library (QNL), menurut Kedutaan Malaysia di Doha.
Duta Besar Malaysia ke Qatar Datuk Faizal Razali mengadakan pertemuan dengan Presiden QNL Dr Hamad bin Abdulaziz Al-Kawari pada 6 Sept bagi memuktamadkan inisiatif itu selain meneroka kerjasama lanjut antara kedua-dua institusi.
“Dr Al-Kawari mengalu-alukan inisiatif pertukaran buku oleh Perpustakaan Negara Malaysia dan menyifatkannya sebagai langkah praktikal ke arah memperkukuh hubungan budaya, pendidikan serta hubungan antara rakyat Malaysia dan Qatar.
“Sebanyak 12 buku merangkumi pelbagai bidang termasuk budaya, sejarah dan warisan dikongsi antara kedua-dua pihak.
“Daripada 10 buku yang disediakan Perpustakaan Negara Malaysia, Kedutaan turut menyumbang dua penerbitan daripada Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Kementerian Luar Malaysia,” menurut kedutaan dalam satu kenyataan.
Inisiatif yang dianjurkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 itu menyediakan platform bagi kedua-dua perpustakaan untuk bertukar pengetahuan serta mengetengahkan naratif budaya, sejarah dan warisan negara masing-masing.
Kedutaan memaklumkan pertemuan itu turut membuka ruang untuk membincangkan kerjasama lebih luas antara Perpustakaan Negara Malaysia dan QNL.
— BERNAMA

