Nahas Long Lellang: AAIB syor semak aspek menyelamat, pemadaman kebakaran STOLport

HomeFeaturedBerita Semasa

Nahas Long Lellang: AAIB syor semak aspek menyelamat, pemadaman kebakaran STOLport

KUALA LUMPUR,. Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) meminta pengendali Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) Long Lellang di

Program Energy For Good satu inisiatif peringkat nasional MILO®
Komuniti pelancongan Lembah Lenggong sedia sambut delegasi arkib antarabangsa
Kefahaman sejarah mendalam penting untuk satukan kepelbagaian kaum – Raja Muda Perlis

KUALA LUMPUR,. Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) meminta pengendali Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) Long Lellang di Miri, Sarawak supaya mengkaji semula pengaturan menyelamat dan pemadaman kebakaran susulan nahas helikopter pada 8 Sept lepas, yang mengorbankan lima individu termasuk empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

AAIB mengesyorkan pengendali lapangan terbang itu Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB), mengkaji semula pengaturan menyelamat dan pemadaman kebakaran di semua STOLport kendaliannya bagi memastikan petugas sokongan diberikan latihan sewajarnya, selain memastikan peralatan pemadaman kebakaran dan kelengkapan perlindungan diri (PPE) diselenggara dan berada dalam keadaan boleh digunakan.

Menurut biro itu, syor berkenaan dibuat susulan penemuan yang mendapati anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang ditugaskan membantu operasi menyelamat dan pemadaman kebakaran bertindak memadam kebakaran tanpa memakai PPE yang bersesuaian.

“Sebahagian PPE yang tersedia menunjukkan tanda kerosakan dan kemerosotan keadaan yang jelas, sekali gus boleh menjejaskan keselamatan keberkesanan tindak balas kecemasan,” menurut laporan awal AAIB.

AAIB memaklumkan sebanyak 12 alat pemadam api jenis serbuk kering yang terdapat di terminal STOLport digunakan oleh petugas dan penduduk kampung dalam usaha memadam kebakaran, bagaimanapun api gagal dipadamkan dan terus marak selama beberapa jam.

Menurut laporan itu, hasil bedah siasat mendapati punca kematian kesemua mangsa terdiri daripada seorang juruterbang berusia 30 tahun dan empat petugas KKM adalah akibat kecederaan melecur teruk yang dialami dalam nahas berkenaan.

Laporan itu memaklumkan, helikopter Messerschmitt-Bolkow-Blohm BO105 S yang didaftarkan sebagai 9M-LLF dan dikendalikan Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd menggunakan tanda panggilan MEDIC3, sedang melaksanakan penerbangan berjadual bagi perkhidmatan Doktor Udara (FDS).

Helikopter berkenaan direka untuk pelbagai operasi termasuk pengangkutan penumpang, penerbangan utiliti, pemindahan perubatan dan misi khusus lain, dengan berat maksimum ketika berlepas kira-kira 2,500 kilogram (kg) bergantung pada konfigurasi serta dokumentasi berkaitan.

Laporan itu turut menyatakan rakaman video dari darat berdurasi 37 saat merakam detik akhir penerbangan helikopter berkenaan yang kelihatan mengeluarkan asap dan api di bahagian belakang kotak gear utama ketika menghampiri Landasan 04, sebelum terhempas dan musnah dalam kebakaran kira-kira 25 meter dari ambang landasan.

Berdasarkan laporan itu, semua frekuensi komunikasi berfungsi seperti biasa dan tiada panggilan kecemasan atau isyarat kecemasan daripada helikopter itu direkodkan sepanjang penerbangan sejak berlepas hingga nahas berlaku.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) merumuskan keadaan cuaca di sekitar STOLport Long Lellang secara umumnya baik, dengan jarak penglihatan mendatar melebihi 10 kilometer sepanjang tempoh dinilai.

Menurut laporan itu, sebagai langkah keselamatan segera, Layang-Layang Aerospace menggantung operasi pesawat yang menggunakan jenis enjin sama sementara menunggu pengesahan kelayakan terbang.

Pesawat yang terlibat kemudiannya dibenarkan kembali beroperasi oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada 13 Sept selepas semakan teknikal dilakukan.

Laporan itu turut menyatakan pemeriksaan terperinci terhadap bangkai helikopter akan dijalankan bagi mengenal pasti jenis dan tahap kerosakan serta, sekiranya dapat ditentukan, urutan kejadian dan perkembangan kebakaran selain kerosakan akibat hentaman dengan permukaan tanah.

Hasil pemeriksaan berkenaan akan dimasukkan dalam laporan akhir siasatan.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan memaklumkan maklumat dalam laporan awal berkenaan tertakluk kepada pindaan berdasarkan bukti tambahan, manakala analisis menyeluruh serta kesimpulan siasatan akan diperincikan dalam laporan akhir.

Menurut kementerian, siasatan itu bertujuan mencegah kejadian sama daripada berulang dan bukan untuk menentukan kesalahan atau liabiliti mana-mana pihak.

“Kementerian menghargai usaha BSKU serta kerjasama semua pihak yang membantu siasatan dan kekal komited untuk memperkukuh keselamatan penerbangan negara,” menurut kementerian.

— BERNAMA