LONDON,. Pengeluar senjata BAE Systems mengumumkan rancangan untuk mengurangkan sehingga 1,070 pekerja di ibu pejabat dan sektor udaranya di United Ki
LONDON,. Pengeluar senjata BAE Systems mengumumkan rancangan untuk mengurangkan sehingga 1,070 pekerja di ibu pejabat dan sektor udaranya di United Kingdom (UK), lapor PA Media/dpa.
Setiausaha Agung kesatuan sekerja Unite di UK, Sharon Graham memberi amaran bahawa “industri pembuatan negara ini mungkin tidak lagi wujud tanpa campur tangan kerajaan” susulan pengumuman itu.
BAE Systems mengeluarkan pelbagai jenis senjata, daripada peluru berpandu dan sistem artileri hingga kereta kebal, pesawat serta kapal perang.
Syarikat itu memaklumkan bahawa ia menggaji kira-kira 50,000 pekerja di seluruh UK, termasuk sekitar 18,500 dalam sektor udara dan kira-kira 1,000 di ibu pejabat.
BAE Systems turut memaklumkan bahawa rancangan pengurangan pekerja itu tidak akan melibatkan pekerja di bahagian pembuatan, penyelenggaraan pesawat di pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) serta pelatih yang baru memulakan kerjaya.
“Kami menyedari bahawa berita ini mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pekerja dan kami memberi tumpuan untuk melaksanakan kemungkinan pengurangan tenaga kerja menerusi proses sukarela,” kata jurucakap syarikat itu.
“Sejak beberapa bulan lalu, Unite telah memberi amaran bahawa kelewatan dalam perbelanjaan pertahanan menyebabkan syarikat dalam sektor berkenaan membuat keputusan yang menjejaskan peluang pekerjaan rakyat Britain,” kata Graham.
— BERNAMA-PA MEDIA/dpa

