JAWA BARAT SASAR SAMBUNG SEMULA PENERBANGAN TERUS KUALA LUMPUR-BANDUNG

HomeFeaturedBerita Semasa

JAWA BARAT SASAR SAMBUNG SEMULA PENERBANGAN TERUS KUALA LUMPUR-BANDUNG

BANDUNG,. Jawa Barat berhasrat menyambung semula penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Bandung susulan perancangan membuka semula Lapangan Terbang

Peperiksaan STAM 2025 bermula 12 hingga 24 Nov libatkan 4,443 calon – KPM
KPT sedia kemudahan PdP, aktif bilik gerakan bantu warga IPT terjejas banjir
Malaysia tingkat pembangunan industri kopi, import masih tinggi akibat SSR rendah

BANDUNG,. Jawa Barat berhasrat menyambung semula penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Bandung susulan perancangan membuka semula Lapangan Terbang Husein Sastranegara bagi penerbangan antarabangsa, sekali gus berpotensi merancakkan sektor pelancongan wilayah itu.

Ketua Bidang Pemasaran Dinas Pariwisata dan Kebudayaan Jawa Barat, Chandrawulan berkata penyambungan semula penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Husein Sastranegara akan memperkukuh hubungan pelancongan dengan Malaysia, yang merupakan pasaran utama pelancong asing bagi wilayah itu.

Beliau berkata Bandung, ibu kota wilayah Jawa Barat, kekal menjadi destinasi pilihan rakyat Malaysia kerana tarikan membeli-belah, kepelbagaian makanan dan suasana bandar raya yang meriah, meskipun tiada penerbangan antarabangsa terus ke bandar itu.

“Terutamanya rakyat Malaysia. Siapa di Malaysia yang tidak kenal Bandung?” katanya berseloroh ketika ditemui Bernama di pejabatnya di sini sempena lawatan suai kenal wartawan dan pempengaruh Malaysia ke Jakarta dan Bandung.

Lawatan itu dianjurkan Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching dengan kerjasama syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo.

Kenyataan Chandrawulan itu menyusul selepas Datuk Bandar Bandung Muhammad Farhan pada Selasa memaklumkan bahawa kerajaan bandar raya itu menyasarkan penyambungan semula penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Husein Sastranegara pada Disember, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Pengangkutan Indonesia.

Menurut agensi berita Antara, Farhan berkata infrastruktur terminal dan petugas lapangan terbang itu sudah bersedia untuk menyokong operasi antarabangsa, dengan Kuala Lumpur dan Singapura antara laluan yang diberi keutamaan.

Pihak pengurusan lapangan terbang sebelum ini turut melaporkan bahawa persiapan telah mencapai 99.85 peratus.

Lapangan terbang itu sebelum ini mengendalikan penerbangan antarabangsa sebelum operasi penerbangan jet berjadual dipindahkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati di Majalengka, Jawa Barat pada Oktober 2023.

Chandrawulan berkata kedudukan Lapangan Terbang Kertajati yang jauh dari tarikan utama Bandung menyebabkan perjalanan kurang mudah bagi pelancong yang sebelum ini biasa tiba terus di bandar raya itu.

Tanpa penerbangan antarabangsa terus ke Bandung, pelancong Malaysia lazimnya menaiki penerbangan ke Jakarta sebelum meneruskan perjalanan ke wilayah itu melalui jalan darat atau perkhidmatan kereta api laju Whoosh, sekali gus menjadikan perjalanan lebih panjang berbanding penerbangan terus sebelum ini.

Perkhidmatan Whoosh turut menjadi pilihan rakyat Malaysia, dengan pengendalinya PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) melaporkan bahawa kira-kira 430,000 rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan itu, merangkumi 43 peratus daripada keseluruhan penumpang asing sejak ia dilancarkan pada Oktober 2023 hingga Oktober tahun ini.

Selain aspek kemudahan perjalanan, Chandrawulan berkata ketiadaan penerbangan antarabangsa terus turut menyukarkan usaha menentukan jumlah sebenar pelancong Malaysia yang berkunjung ke Jawa Barat, memandangkan ramai memasuki Indonesia melalui Jakarta sebelum meneruskan perjalanan ke wilayah itu.

Bagaimanapun, beliau berkata rekod hotel dan maklumat berkaitan pelancongan menunjukkan Malaysia kekal sebagai pasaran utama pelancong asing Jawa Barat, walaupun statistik rasmi berdasarkan pintu masuk negara tidak merangkumi sepenuhnya pelancong yang tiba melalui Jakarta.

Chandrawulan berkata Jawa Barat juga mahu menggalakkan rakyat Malaysia meneroka destinasi di luar Bandung, termasuk kawasan pergunungan, padang golf dan tarikan makanan di Bogor serta pelancongan berasaskan alam semula jadi dan kesejahteraan diri di Lembang.

“Kerana Jawa Barat bukan hanya Bandung,” katanya sambil mengetengahkan kepelbagaian budaya wilayah itu termasuk warisan sejarah Cirebon, tradisi Sunda Priangan serta pengaruh budaya Sunda-Betawi di kawasan bersempadan dengan Jakarta.

Chandrawulan berkata Jawa Barat merancang untuk memberikan penekanan lebih besar terhadap pelancongan antarabangsa pada 2027 dengan menggalakkan pelancong tinggal lebih lama dan menikmati pengalaman pelancongan yang lebih pelbagai.

Beliau berkata kerjasama dengan Malaysia ketika ini banyak tertumpu kepada hubungan antara perniagaan (B2B), termasuk aktiviti promosi dan jualan langsung melibatkan agensi pelancongan Indonesia serta pemain industri Malaysia pada Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair).

— BERNAMA