
Kerja baik pulih sistem rumah pam Taman Melawati siap dilaksanakan – Air Selangor
KUALA LUMPUR,. Kerja-kerja membaik pulih sistem rumah pam Taman Melawati susulan paip pecah di kawasan itu, siap dilaksanakan pada pukul 1 pagi tadi.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata bekalan air telah mula disalurkan secara berperingkat ke 16 kawasan di Gombak yang terjejas.
“Pemulihan bekalan dijangka akan dapat disalurkan sepenuhnya pada pukul 6.00 petang, hari ini. Segala usaha sedang diambil bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan serta meminimumkan impak gangguan kepada para pelanggan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, bantuan bekalan air menerusi lori tangki terus digerakkan ke kawasan yang masih belum mendapat bekalan air.
Pengguna boleh menghubungi talian 15300 dan WhatsApp ke talian 019-2800919 atau 019-2816793 untuk memohon bantuan bekalan air kecemasan.
Katanya, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan kerja membaik pulih dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor di Facebook, Twitter dan Instagram Air Selangor, aplikasi telefon pintar Air Selangor atau layari laman sesawang di www.airselangor.com
— BERNAMA