KUALA LUMPUR,. Sebanyak 2,950 kes pembakaran terbuka dikesan di seluruh negara bagi tempoh 3 Ogos hingga 31 Okt lepas.Kementerian Sumber Asli dan
KUALA LUMPUR,. Sebanyak 2,950 kes pembakaran terbuka dikesan di seluruh negara bagi tempoh 3 Ogos hingga 31 Okt lepas.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan 4,326 tindakan berkaitan kes berkenaan termasuk pemantauan, pengeluaran notis, tindakan mahkamah dan rujukan kepada agensi lain.
“Daripada jumlah itu, 4,326 tindakan yang dilaksanakan meliputi 2,950 tindakan pemantauan, 261 Field Citations, 49 Notis Arahan, 10 tindakan mahkamah, 1,020 kes dirujuk kepada agensi lain untuk tindakan lanjut, 20 tawaran kompaun dan 16 carian hak milik tanah bagi membantu proses siasatan serta tindakan melengkapkan kertas siasatan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.
NRES menjawab soalan Datuk Verdon Bahanda (Bebas-Kudat) mengenai jumlah kes pembakaran terbuka dikesan, disiasat dan dikenakan tindakan sejak Ogos 2026 serta langkah penguatkuasaan tambahan dilaksanakan di kawasan berisiko tinggi bagi mencegah kejadian berulang.
Menurut NRES, sebanyak 14 kebakaran berskala besar berlaku sejak Ogos lepas membabitkan 10 kejadian di Sarawak dan empat di Johor, yang kesemuanya telah dipadamkan sepenuhnya.
Kementerian itu memaklumkan tiada kebakaran berskala besar baharu dilaporkan sejak semua kejadian berkenaan dipadamkan pada 16 Sept lepas.
Bagi mencegah kejadian berulang, JAS memperkukuh Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) menerusi rondaan dan pemeriksaan berfokus di kawasan pertanian, tanah gambut, ladang serta tapak pelupusan sampah yang dikenal pasti berisiko tinggi.
“Titik panas yang dikesan melalui satelit turut disemak dan disahkan di lapangan bagi menentukan kejadian kebakaran sebenar dan keperluan tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
JAS turut memperluas penguatkuasaan melalui pewakilan kuasa kepada agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan perbadanan termasuk Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Perhutanan Sabah.
Susulan keadaan jerebu yang serius di Sarawak pada awal September lepas, NRES memaklumkan operasi pemantauan dipertingkatkan di kawasan tanah gambut, hutan, tapak pelupusan sampah dan kawasan pertanian, dengan penggunaan dron membantu mendapatkan gambaran keadaan semasa di lokasi tertentu bagi menyokong pemantauan dan siasatan.
JAS juga terus memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), perkembangan titik panas dan keadaan jerebu berdasarkan maklumat meteorologi dan pergerakan asap bagi menentukan kawasan yang memerlukan tindakan lebih berfokus.
— BERNAMA

