PUTRAJAYA,. Agrobank dijangka memeterai beberapa memorandum persefahaman (MoU) dengan agensi strategik bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan us
PUTRAJAYA,. Agrobank dijangka memeterai beberapa memorandum persefahaman (MoU) dengan agensi strategik bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan usahawan, akses pembiayaan dan pasaran bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata kerjasama berkenaan akan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan serta menyokong pertumbuhan sektor pertanian dan agromakanan negara.
Beliau berkata penyertaan Agrobank selaku penaja utama MAHA 2026 membolehkan institusi itu memperkasakan akses pembiayaan dan khidmat nasihat kewangan kepada usahawan tani serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“MAHA 2026 menyediakan ruang kepada petani, usahawan dan pemain industri untuk mendapatkan maklumat berkaitan pembiayaan, pengurusan kewangan serta kemudahan digital mengikut keperluan perniagaan masing-masing.
“Mereka juga boleh mendapatkan penerangan mengenai pembiayaan, pengurusan kewangan dan kemudahan digital yang sesuai berdasarkan skala serta peringkat perkembangan perniagaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata Agrobank akan menawarkan kemudahan pembiayaan RM1,000 hingga RM100,000 melalui Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA (Edisi Khas MAHA 2026) serta menyediakan khidmat nasihat pensijilan halal, latihan keusahawanan dan pembiayaan patuh Syariah.
Pada masa sama, beliau berkata kemudahan pembiayaan kepada pekerja ekonomi gig akan diketengahkan melalui AgroGig@MAHA 2026 manakala khidmat nasihat berhubung bantuan pembukaan akaun serta maklumat mengenai Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) akan disedikan kepada petani yang belum mempunyai akaun Agrobank.
MAHA 2026 akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) bermula 28 Ogos hingga 6 Sept ini.
— BERNAMA

