SIDANG KEMUNCAK IKLIM DILANJUTKAN SEHARI LAGI BAGI MUKTAMADKAN DEKLARASI

HomeFeaturedBerita Semasa

SIDANG KEMUNCAK IKLIM DILANJUTKAN SEHARI LAGI BAGI MUKTAMADKAN DEKLARASI

ANTALYA,. Pertikaian mengenai kandungan deklarasi akhir pada Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Turkiye menyebabkan persidang

TPM Ahmad Zahid ajak rakyat Malaysia meriahkan sambutan Hari TVET Negara 2026
PROJEK NADIR BUMI AUSTRALIA MULA PEMBINAAN
Penyu belimbing mendarat, bertelur kali ketiga di pantai Terengganu

ANTALYA,. Pertikaian mengenai kandungan deklarasi akhir pada Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Turkiye menyebabkan persidangan itu dilanjutkan sehari lagi hingga Sabtu, lapor agensi berita Jerman dpa.

Menteri Iklim Tuvalu, sebuah negara di Pasifik yang terancam akibat kenaikan paras laut, Maina Talia melahirkan kekecewaan terhadap kemajuan perlahan yang dicapai pada Persidangan Pihak-Pihak (COP31) di pusat peranginan Antalya di Laut Hitam.

“Selain itu, setiap tahun nampaknya semakin meningkat rasa tidak puas hati, ketidakpercayaan dan kekecewaan dalam kalangan masyarakat sivil serta negara yang paling terjejas akibat perubahan iklim, paling terdedah kepada kesannya, namun tidak bertanggungjawab terhadap masalah itu,” kata Talia ketika dikelilingi sekumpulan wartawan.

Bagaimanapun, beliau berkata Tuvalu berhasrat menumpukan usaha untuk mencapai kemajuan dalam perlindungan alam sekitar di luar rundingan rasmi PBB itu, sambil menggesa semua pihak supaya terus menghasilkan “inspirasi dan penyelesaian”.

Talia merujuk kepada pakatan yang dianggotai puluhan negara yang memperjuangkan penghapusan secara berperingkat penggunaan arang batu, minyak dan gas, yang mengadakan pertemuan di Santa Marta, Colombia pada April.

Persidangan kedua kini dirancang berlangsung pada Julai di Tuvalu, dengan Ireland sebagai penganjur bersama.

Menteri itu menyifatkan usaha berkenaan sebagai “gabungan negara yang mengambil tindakan”, menerusi proses inklusif “bagi mereka yang komited untuk memajukan peralihan itu, dengan kurang beban politik dan lebih banyak ruang untuk perbincangan terbuka mengenai pelaksanaan”.

Sidang kemuncak yang bermula pada 9 Nov itu menghimpunkan hampir 200 negara, saintis, wakil perniagaan dan kumpulan masyarakat sivil bagi merundingkan tindakan iklim global.

Susulan musim panas yang menyaksikan rekod suhu panas membimbangkan dan bencana alam yang dahsyat, persidangan itu terpaksa dilanjutkan selama 21 jam hingga hujung minggu berikutan beberapa isu yang masih belum diselesaikan.

Antara perkara yang menjadi pertikaian ialah sama ada penghapusan secara berperingkat penggunaan minyak, gas dan arang batu perlu dinyatakan secara jelas dalam deklarasi akhir.

Isu lain yang masih menjadi halangan termasuk sasaran baharu untuk mempercepat penggunaan tenaga elektrik serta pertikaian mengenai penyaluran dana bantuan yang dijanjikan kepada negara membangun yang memerlukan.

Pelanjutan tempoh persidangan iklim telah menjadi kebiasaan, bukannya pengecualian, sejak lebih 20 tahun lalu.

— BERNAMA-dpa