JOHOR BAHRU,. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minyak diesel dengan nilai sitaan keseluruhan RM31.6 j
JOHOR BAHRU,. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minyak diesel dengan nilai sitaan keseluruhan RM31.6 juta menerusi dua operasi berasingan di perairan Johor.
Pengarah Kastam Negeri Johor Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata dua kapal bersama-sama 16 kru warga Myanmar berumur antara 25 hingga 53 tahun turut ditahan dalam operasi di perairan Pengerang dan Kukup itu.
Beliau berkata dalam operasi pertama pada 11.40 pagi, 21 Okt lepas, sepasukan anggota Operasi Marin Cawangan Penguatkuasaan Kastam Johor Bahru menahan sebuah kapal di perairan Pengerang hasil perkongsian maklumat daripada Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) Indonesia.
“Pemeriksaan menemukan 29.916 juta batang rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam. Rokok ini dianggarkan bernilai RM5.984 juta, manakala duti dan cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM21 juta,” katanya pada sidang media di Pangkalan Marin Kastam, Sungai Pulai, di sini hari ini.
Aminul Izmeer berkata kapal yang membawa muatan rokok dari Kemboja ke Malaysia itu bersama-sama lapan kru ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam operasi kedua pada 10.20 pagi, 2 Nov lepas, sepasukan anggota kastam daripada Unit Marin Sungai Pulai menahan sebuah kapal tangki minyak di perairan Kukup yang dalam perjalanan dari Vietnam ke Malaysia.
“Pemeriksaan mendapati kapal tersebut membawa sejumlah besar cecair yang dipercayai minyak diesel yang disyaki belum lulus kastam. Kapten kapal juga gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 569,000 liter minyak diesel bernilai RM1.395 juta dengan duti dan cukai berjumlah RM227,000 disita, manakala kapal bersama dengan lapan kru ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Aminul Izmeer berkata kedua-dua kapal berkenaan didaftarkan di luar negara, namun butiran lanjut mengenainya masih dalam siasatan.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
— BERNAMA

