KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima aduan rasmi berkaitan isu membabitkan My EG Sdn Bhd (MyEG) dan
KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima aduan rasmi berkaitan isu membabitkan My EG Sdn Bhd (MyEG) dan Zetrix AI Berhad pada 7 Okt lepas.
SPRM memaklumkan pihaknya turut mengambil maklum bahawa isu berkenaan sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sehubungan dengan itu, SPRM akan bekerjasama rapat dengan PDRM bagi meneliti dan melaksanakan perkongsian maklumat dalam menyiasat perkara berkenaan berdasarkan kesalahan di bawah bidang kuasa polis.
“PDRM akan menyalurkan sebarang maklumat kepada SPRM sekiranya terdapat elemen rasuah untuk tindakan lanjut suruhanjaya itu. SPRM turut mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak untuk menyalurkan maklumat lanjut berkaitan isu berkenaan.
“Pada masa sama, SPRM menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai siasatan itu atau menyebarkan berita tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan,” menurut kenyataan SPRM hari ini.
SPRM menegaskan bahawa pihaknya tidak berkompromi dan akan menjalankan siasatan secara bebas, adil serta berlandaskan undang-undang.
Pada 5 Okt lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI Bhd sebagai ejen kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digantung selepas kedua-dua syarikat itu gagal menyerahkan hasil kutipan berjumlah RM314 juta kepada kerajaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 Sept.
Menurut Loke, tindakan itu diambil selepas kedua-dua syarikat berkenaan gagal melunaskan tunggakan terbabit walaupun 35 peringatan telah diberikan, selain beberapa siri libat urus diadakan oleh pihak berkuasa sejak Mei lepas.
— BERNAMA

