PRN SARAWAK: PELBAGAI KEPAKARAN SANDARAN LIMA CALON WANITA GPS

HomeFeaturedPolitik

PRN SARAWAK: PELBAGAI KEPAKARAN SANDARAN LIMA CALON WANITA GPS

KUCHING,. Berbekalkan kepakaran pelbagai bidang profesional, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertaruhkan lima calon wanita termasuk dua muka baharu pa

PRN Sarawak: 517 borang pencalonan terjual setakat semalam
PRN SARAWAK: PENGUNDI MUDA BAKAL MAIN PERANAN BESAR
DUN Sarawak bubar hari ini, beri laluan PRN13

KUCHING,. Berbekalkan kepakaran pelbagai bidang profesional, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertaruhkan lima calon wanita termasuk dua muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, berbanding empat pada pilihan raya negeri lepas.

Dua muka baharu itu ialah bekas jurutera kanan Sarawak Energy Berhad Nurfatin Syafawani Tahamat, 34, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim, 51, di DUN Muara Tuang.

Tiga lagi kerusi DUN yang turut ditandingi calon wanita GPS ialah Dalat menerusi Ketua Wanita GPS Datuk Seri Fatimah Abdullah, Samariang (Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali) dan Lingga (Dayang Noorazah Awang Sohor).

Senarai berkenaan adalah sebahagian daripada keseluruhan 82 calon GPS termasuk 11 muka baharu atau kira-kira 14 peratus yang diumumkan Pengerusi gabungan itu Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini hari ini.

Mengulas barisan calon wanita itu, Fatimah yang juga Ketua Wanita PBB berkata pertambahan berkenaan membuktikan wanita GPS bukan calang-calang apabila tampil daripada bidang kejuruteraan, perundangan, perniagaan serta pentadbiran.

“Kami mempunyai calon yang sangat berwibawa, insya-Allah. Saya sangat yakin bahawa calon-calon wanita akan menang dengan bergaya sekali.

“Dan juga sangat penting ialah selepas menang, kita akan terus bekerja keras untuk memberi perkhidmatan kepada kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman itu.

Fatimah dalam pada itu mengingatkan calon wanita agar memikul amanah dengan penuh integriti dan komitmen serta sentiasa merendah diri ketika berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama sekiranya diberikan mandate pada PRN kali ini.

“Bukan sekadar menang, tetapi perkhidmatan selepas menang itu, kita berada di situ kerana mereka, justeru perkhidmatan kita adalah untuk mereka secara khususnya dan untuk Sarawak yang kita cintai ini secara amnya,” katanya.

Sementara itu, Nurfatin Syafawani yang berasal dari Kampung Kelulit, Bekenu dan berpengalaman 10 tahun sebagai jurutera menghargai kepercayaan yang diberikan untuk meneruskan legasi pembangunan penyandang kerusi itu Datuk Rosey Yunus.

“Ini adalah amanah tanggungjawab yang diberikan dan saya akan cuba dengan sehabis baik… saya akan lebih menegaskan kepada program wanita dan belia agar belia di DUN Bekenu tidak ketinggalan dari segi pendidikan serta perkembangan semasa,” katanya.

Bagi kerusi DUN Muara Tuang pula, Dayang Nurfizawati yang juga Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak sejak 2017 berpengalaman dalam industri minyak dan gas serta memiliki kelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang perniagaan.

Beliau menyifatkan pencalonannya sebagai amanah besar untuk menyambung khidmat penyandang kerusi berkenaan Datuk Idris Buang.

“Sebagai calon baharu sudah tentu ada cabaran, namun dengan nawaitu kita nak bekerja untuk rakyat, saya akan lakukan yang terbaik untuk menyambung legasi dan perkara yang perlu dibangunkan di kawasan ini,” kata ibu kepada dua anak itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 8 Dis dan hari pengundian pada 12 Dis ini.

Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/.

— BERNAMA