KUCHING,. Dua Ahli Parlimen yang menganggotai Kabinet Persekutuan kekal dalam senarai 82 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mempertahankan kerusi
KUCHING,. Dua Ahli Parlimen yang menganggotai Kabinet Persekutuan kekal dalam senarai 82 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 (PRN13).
Kedua-dua calon itu ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing (Ahli Parlimen Bintulu) di DUN Dudong serta Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii (Ahli Parlimen Sarikei) di Repok.
Senarai penuh calon bagi kesemua 82 kerusi DUN itu diumumkan Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini.
Pengumuman itu turut mencuri tumpuan apabila penyandang kerusi Engkilili Johnical Rayong Ngipa kekal dicalonkan oleh GPS selepas menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hari ini setelah keluar daripada Parti Demokratik Progresif (PDP).
Berbeza dengan Rayong, penyandang kerusi DUN Bawang Assan Datuk Seri Wong Soon Koh tidak mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 1991 apabila GPS mempertaruhkan muka baharu Kevin Lau Kor Jie.
Rayong yang juga Naib Presiden PDP dan Wong selaku Naib Presiden Kanan PDP mengumumkan peletakan jawatan dalam parti berkuat kuasa 22 Nov.
PRN Sarawak turut menyaksikan beberapa pemimpin veteran tidak dicalonkan semula, termasuk Datuk Idris Buang di Muara Tuang, Datuk Francis Harden Hollis (Simanggang) dan Datuk Rosey Yunus (Bekenu).
Tempat mereka masing-masing diisi Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim, Leonard Libau Anol dan Nurfatin Syafawani Tahamat.
Turut disenaraikan ialah Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng sebagai calon di Pending serta penyandang kerusi Batu Lintang See Chee How dan Ba’kelalan Baru Bian, yang memenangi kerusi masing-masing atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada PRN 2021.
Sementara itu, Abang Johari kekal mempertahankan kerusi Gedong, diikuti ketiga-tiga Timbalan Premier Sarawak, iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Bukit Saban, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (Bukit Sari) dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian (Batu Kawah).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 8 Dis dan hari pengundian pada 12 Dis.
Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/
— BERNAMA

