
Wilshere pelik Ozil tidak beraksi
LONDON,. Bekas pemain tengah Arsenal Jack Wilshere merasakan ada perkara sulit berkenaan Mesut Ozil yang terus berada di kelab itu walaupun tidak memberi sumbangan.
Pemain Jerman itu langsung tidak beraksi sejak bola sepak kembali pada Jun, dan masa depannya di kelab utara London itu semakin malap.
Wilshere, kini bersama West Ham, bergandingan dengan Ozil di Emirates selama beberapa tahun, dan antara rakan sepasukan kegemarannya di atas padang.
“Daripada segi permainan, saya suka bermain dengannya.
“Dia antara pemain kegemaran saya. Dia menghantar bola pada masa yang tepat, dengan kelajuan yang betul.
“Jadi saya terkejut dia tidak bermain, tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku di sebaliknya.
“Mungkin ada perkara yang kita tidak tahu kerana saya tidak nampak sebab mengapa dia tidak diturunkan berdasarkan kemahirannya.
“Terutama dengan kehadiran (Pierre-Emerick) Aubameyang, bayangkan Ozil di belakangnya membuat umpanan. Ia pasti luar biasa.
“Namun saya pasti Mikel Arteta ada perancangan tersendiri dan ia sedang dilaksanakan,” kata Wilshere. – AGENSI