Bayer labur €500 juta perluas kemudahan ubat di Beijing

HomeFeaturedBerita Semasa

Bayer labur €500 juta perluas kemudahan ubat di Beijing

FRANKFURT/BEIJING,. Syarikat sains hayat dan farmaseutikal Jerman, Bayer, merancang melabur sehingga €500 juta (US$550 juta) bagi memperluas Pusat Bek

FINAS RESTORASI 150 JAM KHAZANAH AUDIOVISUAL, HIDUPKAN SEJARAH VISUAL NEGARA
Perpustakaan Negara Malaysia dicadang wujud Repositori Digital Cerita Malaysia – Aaron
Indonesia adakan sidang Isbat 17 Feb, tentukan permulaan Ramadan

FRANKFURT/BEIJING,. Syarikat sains hayat dan farmaseutikal Jerman, Bayer, merancang melabur sehingga €500 juta (US$550 juta) bagi memperluas Pusat Bekalan Produk Farmaseutikalnya di Beijing, menurut pengumuman syarikat itu pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bayer merancang melabur kira-kira €1 bilion (US$1.1 bilion) di China menjelang 2030 dalam bidang termasuk keupayaan perubatan, pendigitalan, pembuatan serta pembangunan rantaian bekalan bagi menyokong pertumbuhan berterusan perniagaannya.

Pelaburan terbaharu yang dirancang itu, yang bakal menjadi pelaburan tunggal terbesar syarikat berkenaan dalam sektor farmaseutikal di China setakat ini, bakal menambah kapasiti pembuatan fleksibel bagi ubat kardiovaskular dan produk onkologi pada masa hadapan, terutamanya untuk pasaran China.

Bayer berkata China merupakan antara pasaran terpenting bagi perniagaan farmaseutikalnya.

Projek peluasan itu dijangka mewujudkan sehingga 300 peluang pekerjaan, dengan pengeluaran dijadualkan bermula seawal 2032.

Peluasan di tapak Kawasan Pembangunan Ekonomi-Teknologi Beijing itu pada peringkat awal akan meningkatkan kapasiti pembuatan ubat kardiovaskular.

Pada masa hadapan, fasiliti itu turut dilengkapi keupayaan untuk menghasilkan produk berpotensi tinggi, termasuk ubat onkologi, menurut Bayer.

Kemudahan baharu itu akan dibina di tapak pengeluaran farmaseutikal sedia ada milik Bayer di Beijing dan dilengkapi teknologi pembuatan ubat tercanggih, menurut syarikat itu.

Ketua Bekalan Produk Bahagian Farmaseutikal Bayer, Holger Weintritt, berkata: “Rangkaian bekalan global yang berdaya tahan memerlukan keupayaan pembuatan yang kukuh dan fleksibel di pasaran utama.

“Pelan peluasan di Beijing akan memberikan kami fleksibiliti lebih besar untuk menyesuaikan pengeluaran apabila portfolio produk kami berkembang, sambil mengekalkan piawaian global Bayer dari segi kualiti dan bekalan.”

Tapak pengeluaran di Beijing itu merupakan fasiliti pembungkusan terbesar Bayer bagi ubat preskripsi di seluruh dunia, yang membekalkan produk utama kepada pesakit di China.

Di Bursa Saham Frankfurt di Jerman, saham Bayer diniagakan empat peratus lebih tinggi pada €52.70 (US$58).

— BERNAMA-dpa