FINAS RESTORASI 150 JAM KHAZANAH AUDIOVISUAL, HIDUPKAN SEJARAH VISUAL NEGARA

HomeFeaturedBerita Semasa

FINAS RESTORASI 150 JAM KHAZANAH AUDIOVISUAL, HIDUPKAN SEJARAH VISUAL NEGARA

PETALING JAYA,. Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menghidupkan semula memori visual negara menerusi usaha alih digital dan restoras

PIALA TENGKU PUTERI JIHAN BERI RUANG PELAJAR SERLAH BAKAT TENUNAN
PROJEK KEDIAMAN DI MELAKA LALUI SEMAKAN NILAI HARGA JUALAN SEBELUM DIBINA – AB RAUF
Sejarah memperkukuh negara dan bangsa – Aaron

PETALING JAYA,. Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menghidupkan semula memori visual negara menerusi usaha alih digital dan restorasi 150 jam koleksi dokumentari serta dokudrama lama yang kini boleh ditonton semula dalam format 4K.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata usaha itu bukan sekadar menyelamatkan bahan audiovisual daripada kerosakan, sebaliknya memastikan rakaman yang merakam wajah, suara dan perjalanan sejarah Malaysia terus dapat difahami oleh generasi akan datang.

Beliau berkata koleksi audiovisual itu mempunyai nilai yang jauh melangkaui fungsi penerangan ketika ia diterbitkan kerana kandungannya menjadi bukti visual mengenai kehidupan, budaya, pembangunan dan cabaran masyarakat pada sesuatu zaman.

“Arkib visual negara ini adalah tempat wajah, suara dan perjalanan Malaysia disimpan dalam bentuk yang boleh ditonton, dikaji dan difahami.

“Sebab itu, restorasi ini bukan sekadar kerja teknikal tetapi satu tanggungjawab kepada memori negara,” katanya ketika berucap merasmikan Sesi Tayangan Khas dan Apresiasi Restorasi Koleksi Audiovisual Khazanah Warisan Negara di Menara FINAS di sini hari ini.

Azmir Saifuddin berkata projek Digitized Malaysia History (DMH) yang dilaksanakan selama 96 minggu itu turut memperlihatkan kepentingan kepakaran manusia dalam memastikan bahan bersejarah dapat dipulihkan dengan mengambil kira keadaan serta keaslian bahan asal.

“Teknologi adalah alat yang penting tetapi keberhasilan restorasi tetap bergantung kepada manusia, mata yang terlatih, pengetahuan tentang bahan asal dan rasa bertanggungjawab terhadap sejarah,” katanya.

Menurut Azmir Saifuddin, bahan asal yang disimpan FINAS tetap dipelihara meskipun proses pendigitalan telah dilakukan bagi memastikan koleksi itu dapat dimanfaatkan untuk keperluan masa depan.

“Walaupun kita mendigitalkan bahan-bahan itu, bahan asal tetap kita simpan kerana daripada bahan asal itulah kita boleh menghasilkan semula dalam resolusi 2K, 4K, 8K dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata usaha itu turut membuka ruang lebih luas untuk koleksi audiovisual negara digunakan bagi tujuan pendidikan, penyelidikan, pameran, tontonan dan pengkomersialan, tertakluk kepada status serta pemilikan hak cipta.

Tiga hasil restorasi, iaitu Tunku Visit Sabah, Timeless Temiar dan Tongkat Hitam turut ditayangkan pada sesi itu, selain perkongsian oleh animator, pengarah filem, penulis dan pengkritik yang dikenali sebagai “Bapa Animasi Malaysia” Hassan Abd Muthalib serta Ketua Unit Pengurusan Arkib, Bahagian Makmal FINAS Nyoh Austine Sidai.

Azmir Saifuddin berkata FINAS akan terus memperkukuh usaha pendataan dan pemeliharaan koleksi audiovisual, selain meningkatkan kapasiti teknikal serta memperluas kerjasama dengan agensi, institusi pendidikan, pemilik hak, pakar dan pemain industri.

“Kami mahu khazanah ini dikongsi bukan untuk satu pihak sahaja tetapi keseluruhan warga Malaysia, terutama generasi akan datang,” katanya.

— BERNAMA