Sejarah memperkukuh negara dan bangsa –  Aaron

HomeFeaturedBerita Semasa

Sejarah memperkukuh negara dan bangsa – Aaron

ARAU,. Sejarah kekal sebagai asas penting dalam membentuk identiti nasional serta memperkukuh perpaduan rakyat, khususnya dalam dunia masa kini yang s

Konflik Asia Barat: Mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas berlangsung, hasil dibentang Jumaat ini
PAVILION LIBYA DI MIHAS 2026 BAKAL PACU PERDAGANGAN MALAYSIA-LIBYA – MATRADE
Sultan Pahang, Tengku Ampuan beri penghormatan terakhir buat Tun Dr Siti Hasmah

ARAU,. Sejarah kekal sebagai asas penting dalam membentuk identiti nasional serta memperkukuh perpaduan rakyat, khususnya dalam dunia masa kini yang semakin dipengaruhi arus globalisasi, perkembangan pesat teknologi serta lambakan maklumat tanpa sempadan.

Dalam konteks globalisasi yang semakin mencabar dengan relativisme nilai dan persaingan naratif, sejarah berperanan sebagai memori kolektif yang menyatukan masyarakat dalam kerangka makna dan nilai bersama.

Dalam landskap yang bergerak pantas ini, sejarah menjadi panduan kepada pembentukan jati diri bangsa yang semakin signifikan dan tidak boleh dipinggirkan.

Tanpa pemahaman sejarah yang kukuh, negara berisiko kehilangan arah dalam pembinaan identiti nasional, sekali gus melemahkan jati diri rakyat dan mencetuskan perpecahan sosial akibat kekeliruan identiti serta naratif tidak berasaskan fakta sahih.

Sejarah juga menjadi cermin kepada kejayaan dan kegagalan sesebuah bangsa, membantu masyarakat menilai arah tuju masa hadapan dengan lebih matang.

Ia bukan sekadar catatan peristiwa lampau yang tersimpan dalam buku teks, sebaliknya memori kolektif yang menyatukan masyarakat dalam satu kerangka nilai, kefahaman dan pemikiran bersama.

Melalui penghayatan sejarah, rakyat dapat menelusuri asal usul negara, memahami perjuangan tokoh terdahulu serta menghayati nilai yang membentuk Malaysia sebagai negara bangsa berdaulat.

Negara yang kukuh bukan sahaja dibina atas kemajuan ekonomi dan teknologi, tetapi juga bergantung kepada kekuatan identiti nasional, kesedaran sivik dan kefahaman terhadap akar sejarah.

Dalam era hiper ketersambungan hari ini, cabaran memahami sejarah secara mendalam semakin ketara khususnya dalam kalangan Generasi Z.

Walaupun akses maklumat lebih pantas dan meluas, ia tidak semestinya menjamin kefahaman tepat dan menyeluruh.

Kecenderungan kepada pemikiran sehala serta tafsiran sempit boleh menghakis jati diri bangsa, selain dikaitkan dengan fenomena “historical amnesia” (lupa sejarah) dan “de-rooted identity” (identiti tanpa akar) yang mampu menghakis jati diri bangsa.

Keadaan ini boleh menimbulkan kekeliruan terhadap fakta sejarah, melemahkan semangat patriotisme serta menjarakkan generasi muda daripada nilai kenegaraan dan Perlembagaan.

Oleh itu, pengukuhan literasi sejarah perlu menjadi counter-narrative yang membina pemikiran kritikal, menapis maklumat secara rasional dan memastikan generasi muda kekal berakar pada identiti negara serta memahami kepentingan perpaduan dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Usaha ini juga selari dengan aspirasi membina masyarakat MADANI yang berpengetahuan, bersatu padu dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra (kanan) menyampaikan titah perasmian.

Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa sejarah merupakan asas kepada pembentukan identiti nasional serta elemen penting dalam membina rasa kebersamaan rakyat.

Menurut beliau, melalui sejarah rakyat dapat memahami asal usul negara, menelusuri perjuangan generasi terdahulu dan menghayati nilai yang membentuk jati diri bangsa.

Tanpa pemahaman sejarah yang kukuh, usaha memperkukuh perpaduan dan kesetiaan kepada negara akan menjadi lebih sukar untuk dicapai.

Selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasakan pendidikan sejarah, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk menjadikan sejarah sebagai subjek wajib di sekolah, memperkenalkan program Arkib @ Sekolah serta memperluaskan akses kepada bahan sejarah menerusi Arkib Negara Malaysia.

Usaha ini bertujuan memastikan sejarah terus dekat dengan masyarakat, khususnya generasi muda.

Agenda sejarah negara turut diperkukuhkan melalui penganjuran Konvensyen Sejarah Nasional (KSN) 2026 yang berlangsung pada Selasa, 12 hingga 13 Mei 2026 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra, Perlis dengan tema ‘Bersama Membina Negara Bangsa.’

Konvensyen anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia ini menjadi platform penting dalam memperkasa pemahaman sejarah sebagai asas pembinaan negara bangsa Malaysia.

KSN 2026 telah menghimpunkan sarjana, pengkaji dan pengamal sejarah dari seluruh negara bagi berkongsi penemuan, pandangan serta wacana ilmiah berkaitan sejarah tanah air dan identiti nasional.

Antara pembentang utama termasuk Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Zaidin Mohd Noor, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis Dato’ Prof Ts Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut serta ialah para sarjana dan pengkaji sejarah tempatan yang membentangkan kertas kerja bagi mengupas sejarah pembinaan negara secara lebih mendalam.

Sebanyak empat sesi pembentangan akan diadakan melibatkan 14 pembentang, merangkumi fokus kepada Sejarah Institusi Beraja, Gerakan Nasionalisme, Pentadbiran dan Perundangan, serta Pembangunan dan Kesejahteraan Masyarakat MADANI semuanya ke arah memperkukuh kefahaman sejarah dan membina masa depan negara bangsa yang lebih bersatu dan berdaya tahan.

Penganjuran KSN 2026 juga selari dengan hala tuju KPN yang memperkenalkan lima kluster utama MADANI iaitu Tunas MADANI, Komuniti MADANI, Harmoni MADANI, Rakyat MADANI dan Warisan MADANI dalam usaha memperkukuh perpaduan serta pembinaan negara bangsa secara menyeluruh.

(Depan, dari kiri) Aaron, Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah, Tuanku Syed Faizuddin Putra, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Zaidin Mohd Noor bergambar bersama para hadirin ketika majlis perasmian Konvensyen Sejarah Kebangsaan 2026 di UniMAP pada Selasa.

Majlis perasmian Konvensyen Sejarah Nasional 2026 yang diserikan dengan kehadiran Aaron turut menampilkan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Anuwar Ali yang menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Teras Pembinaan Negara Bangsa’ serta titah perasmian oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Penganjuran konvensyen ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan edisi sebelum ini yang telah menghasilkan pelbagai resolusi penting termasuk penubuhan Majlis Sejarawan Negara (MSjN) sebagai penasihat kerajaan dalam pembangunan sejarah negara.

Antara resolusi lain yang telah direalisasikan termasuk usaha membawa pulang bahan sejarah dari luar negara, mempergiat penghayatan Rukun Negara serta memperkukuh kedudukan sejarah dalam sistem pendidikan negara.

Perkembangan ini membuktikan bahawa sejarah bukan sekadar bidang akademik, malah telah diangkat sebagai agenda strategik negara dalam membentuk masyarakat yang mempunyai jati diri kukuh, menghargai warisan bangsa serta bersatu dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Konvensyen ini juga berperanan dalam menyumbang input penting bagi penyediaan Blueprint Negara Bangsa yang akan menjadi rujukan utama agensi kerajaan dalam penggubalan dasar masa hadapan.

Perbincangan konvensyen turut menumpukan kepada aspek perundangan dan dasar sebagai landasan jangka panjang perpaduan nasional, pembinaan identiti kebangsaan yang merentasi perbezaan kaum, agama dan wilayah serta pelaksanaan program yang memberi sentuhan sosial melalui interaksi di peringkat nasional.

Keseluruhannya, Konvensyen Sejarah Nasional 2026 memperlihatkan bahawa sejarah terus memainkan peranan penting sebagai teras pembinaan negara bangsa.

Ia bukan sahaja memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap masa lalu, malah turut menjadi asas penting dalam membentuk masa depan negara yang lebih bersatu, beridentiti kukuh dan berdaya tahan.