Hari Kanak-Kanak Sedunia: UNICEF gesa tindakan bersama lindungi kanak-kanak

HomeFeaturedBerita Semasa

Hari Kanak-Kanak Sedunia: UNICEF gesa tindakan bersama lindungi kanak-kanak

KUALA LUMPUR,. Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menggesa kerajaan, masyarakat dan sektor perniagaan menterjemahkan komitme

Skandal rasuah ATM: Siasatan tidak terhad kes tertentu
Amaran ribut petir di beberapa negeri sehingga 9 pagi – MetMalaysia
LEBIH 3,600 SEKOLAH DI 11 WILAYAH DITUTUP AKIBAT HUJAN LEBAT

KUALA LUMPUR,. Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menggesa kerajaan, masyarakat dan sektor perniagaan menterjemahkan komitmen terhadap hak kanak-kanak kepada tindakan menerusi penyediaan perkhidmatan yang mudah diakses, ruang digital lebih selamat serta perlindungan daripada risiko perubahan iklim, dengan pandangan kanak-kanak diambil kira dalam keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka.

Dalam kenyataan sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia pada Jumaat, UNICEF turut menggesa tindakan bersama yang mengutamakan kanak-kanak dalam perbelanjaan awam dan memastikan perkhidmatan penting dapat diakses oleh mereka yang menghadapi halangan paling besar.

“Syarikat teknologi perlu menilai risiko terhadap kanak-kanak dan menerapkan ciri keselamatan, privasi serta mekanisme pelaporan yang mudah diakses dalam perkhidmatan digital.

Advertisement
“Pihak berkuasa kebangsaan dan tempatan pula perlu memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi perubahan iklim serta melindungi kesihatan, keselamatan dan kesinambungan pembelajaran kanak-kanak ketika berlaku gangguan,” menurut kenyataan itu.

UNICEF berkata pandangan kanak-kanak mesti diambil kira dalam keputusan berkenaan, dengan pembuat keputusan perlu menjelaskan bagaimana pandangan mereka dipertimbangkan dan tindakan susulan yang akan diambil.

Advertisement
Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut setiap tahun pada 20 Nov memperingati ulang tahun penerimaan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak serta menyeru tindakan bagi mempertahankan hak setiap kanak-kanak.

Sambutan itu merupakan Hari Tindakan Global untuk kanak-kanak, oleh kanak-kanak, selain menjadi peluang untuk menilai sama ada janji yang dibuat kepada mereka benar-benar diterjemahkan dalam kehidupan seharian, termasuk peluang untuk belajar, bermain, berada dalam keadaan selamat, mendapat sokongan dan menyuarakan pandangan.

UNICEF berkata Artikel 12 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak mengiktiraf hak kanak-kanak untuk menyuarakan pandangan mengenai perkara yang mempengaruhi kehidupan mereka, dengan pandangan itu diberikan pertimbangan sewajarnya mengikut umur dan tahap kematangan.

“Penyertaan bermakna memerlukan peluang yang selamat dan inklusif untuk kanak-kanak memberikan pandangan, selain maklum balas daripada pembuat keputusan mengenai bagaimana pandangan mereka dipertimbangkan,” menurut kenyataan itu.

Wakil UNICEF ke Malaysia Robert Gass menegaskan semula komitmen bersama untuk mempertahankan hak kanak-kanak.

“Di Malaysia, kami menyebutnya sebagai Janji Kita, iaitu janji yang kita buat bersama. Ia terserlah di dalam momen kecil kehidupan seharian seorang kanak-kanak.

“Perjalanan yang selamat ke sekolah. Tempat untuk bermain. Orang dewasa yang sudi mendengar. Di situlah hak kanak-kanak menjadi kenyataan,” katanya.

Beberapa bangunan dan mercu tanda di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sarawak diterangi cahaya biru sempena gerakan global Go Blue, sekaligus menyampaikan mesej bersama bahawa hak setiap kanak-kanak mesti dilindungi dan ditegakkan.

Antara mercu tanda yang mengambil bahagian ialah Exchange 106, Menara Kuala Lumpur, Bangunan Sultan Abdul Samad, Stadium Nasional TM, Dewan Undangan Negeri Sarawak, Taman Tebingan Sungai Batu Kawah, Wisma Bintulu Development Authority, Pejabat PERBINDA, Jambatan Tun Taib, Majlis Perbandaran Kota Samarahan di Sarawak, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Jambatan Seri Wawasan dan Jambatan Seri Saujana.

UNICEF turut menggesa agar sokongan itu diteruskan melangkaui sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia melalui keputusan dan tindakan yang dapat meningkatkan keselamatan kanak-kanak, memperluaskan lagi akses mereka kepada perkhidmatan serta memastikan suara mereka didengari.

Orang ramai boleh menyertai gerakan Go Blue dengan berkongsi gambar menggunakan tanda pagar #GoBlueForEveryChild.

UNICEF Malaysia turut menganjurkan Festival Hak, acara dua hari bermula 20 Nov di KLGCC Mall bagi meraikan hak kanak-kanak dan golongan muda serta menyediakan ruang untuk berkongsi pengalaman, idea dan aspirasi mengenai isu yang membentuk masa depan mereka, termasuk keselamatan digital, kecerdasan buatan (AI) dan perubahan iklim.

— BERNAMA