MELAKA,. Kerajaan Negeri Melaka akan memastikan setiap pembangunan baharu, khususnya projek kediaman, melalui semakan nilaian harga jualan sebelum pem
MELAKA,. Kerajaan Negeri Melaka akan memastikan setiap pembangunan baharu, khususnya projek kediaman, melalui semakan nilaian harga jualan sebelum pembinaan dilaksanakan.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata semakan berkenaan akan dilakukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menerusi Jawatankuasa Pecah Sempadan Tanah dan Belah Bahagi Negeri.
Beliau berkata usaha itu perlu dilakukan agar pembangunan yang dilaksanakan bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, keperluan perumahan dan kemampuan rakyat.
“Bagi saya, ini bukan sekadar soal proses atau kelulusan, tetapi kita mahu harga (kediaman) yang dibawa ke pasaran benar-benar munasabah, selari dengan nilai semasa dan masih berada dalam jangkauan pembeli.
“Buktinya, alhamdulillah, berdasarkan Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara bagi suku pertama tahun ini, Melaka merekodkan harga jualan rumah paling rendah di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Majlis Apresiasi Pembekal Data Terbaik Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) dan Seminar What’s New Property Information System Malaysia 2.0 Zon Selatan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta Datuk Abdul Razak Yusak.
Ab Rauf berkata dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Melaka merekodkan 8,661 transaksi hartanah bernilai RM3.1 bilion dengan subsektor kediaman kekal sebagai penyumbang utama menerusi 5,479 transaksi bernilai RM1.78 bilion.
Beliau berkata nisbah kemampuan perumahan Melaka pula berada kira-kira 3.27 berbanding purata nasional, iaitu 4.39, namun pencapaian itu bukanlah tiket untuk kerajaan negeri berasa selesa.
“Kerajaan negeri menyasarkan kadar pemilikan rumah meningkat kepada 88 peratus menjelang 2030 dan kita mahu lebih ramai rakyat Melaka bukan sekadar memasang impian untuk memiliki rumah, tetapi akhirnya memegang kunci rumah milik sendiri.
“Bagi saya, itulah ukuran sebenar kejayaan sesuatu dasar perumahan, bukan berapa banyak rumah yang kita luluskan atau bina semata-mata, tetapi berapa ramai rakyat yang benar-benar mampu memilikinya,” katanya.
— BERNAMA

