YAPEIM salur sumbangan sebanyak RM50, 000 kepada pengamal media – Abdul Khudus

HomeFeaturedBerita Semasa

YAPEIM salur sumbangan sebanyak RM50, 000 kepada pengamal media – Abdul Khudus

KUALA LUMPUR,.(YAPEIM) menyalurkan bantuan tunai berjumlah RM50,000 kepada 50 pengamal media yang memerlukan bagi meringankan beban kewangan serta mem

Skim lindung 24 jam jamin pekerja, keluarga tidak hilang pendapatan akibat kemalangan
Konflik Asia Barat: Bekalan ubat negara stabil, pasukan petugas ditubuh pantau impak
Jerry Ambuting bukan lagi Ahli Kehormat RELA sejak 2014

KUALA LUMPUR,.(YAPEIM) menyalurkan bantuan tunai berjumlah RM50,000 kepada 50 pengamal media yang memerlukan bagi meringankan beban kewangan serta membantu menampung keperluan harian mereka.

Setiap penerima menerima bantuan sebanyak RM1,000 menerusi inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama lima persatuan dan kelab media, iaitu Kelab Media Putrajaya (KMP), Kelab Media KL dan Selangor (KLS), Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR) dan Koperasi Media Prima Berhad (KopMedia).

Kerjasama itu membolehkan pengamal media yang benar-benar memerlukan dikenal pasti bagi memastikan bantuan disalurkan kepada penerima yang layak.

Inisiatif berkenaan turut mencerminkan penghargaan YAPEIM terhadap sumbangan pengamal dan organisasi media, khususnya dalam menyampaikan maklumat berkaitan aktiviti serta inisiatif yayasan itu kepada masyarakat.

Sejak 2023, YAPEIM telah menyalurkan bantuan berjumlah RM205,500 kepada pengamal media yang memerlukan.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim berkata, hubungan baik dan kerjasama erat dengan pihak media amat penting dalam memperluas penyampaian maklumat serta meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan dan usaha yayasan itu.

Beliau berkata, YAPEIM amat menghargai sokongan dan komitmen pengamal media yang selama ini membantu menyampaikan maklumat berkaitan yayasan itu kepada masyarakat secara seimbang dan adil.

“Kerjasama ini membolehkan masyarakat lebih mengenali YAPEIM, khususnya usaha berterusan kami dalam membantu golongan yang memerlukan, sekali gus memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap institusi,” katanya pada Majlis Apresiasi dan Amal YAPEIM Bersama Media 2026 pada Rabu.

Dalam majlis sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hassan turut menggalakkan masyarakat supaya bersama-sama menyokong usaha YAPEIM menerusi sumbangan dan infak melalui pelbagai saluran yang disediakan.

Beliau berkata, sokongan berterusan masyarakat penting bagi memastikan lebih banyak program pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan dapat dilaksanakan untuk membantu golongan yang memerlukan.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nassan serta kira-kira 150 pengamal media daripada pelbagai organisasi media.

Sementara itu, YAPEIM turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama AlHijrah Media Corporation (AHMC) dan Koperasi Media Prima Berhad (KopMedia) bagi menjalin kerjasama strategik menerusi Program Pengukuhan Amalan Sadaqatul Jariah melalui Skim Rakan Strategik Infak (RSI).

Kerjasama itu bertujuan memperluas penyertaan masyarakat dalam amalan berinfak secara berterusan menerusi penglibatan rakan strategik, selain memperkukuh usaha pengumpulan dana infak bagi menyokong pelaksanaan program dan inisiatif YAPEIM.

— GERBANGPOST