FESTIVAL SENI PANGKOR HIMPUNKAN 16 ARTIS, 14 KARYA DI LAPAN LOKASI

HomeFeaturedBerita Semasa

FESTIVAL SENI PANGKOR HIMPUNKAN 16 ARTIS, 14 KARYA DI LAPAN LOKASI

KUALA LUMPUR,. Dari ruang menunggu feri di Jeti Pangkor sehingga ke tapak bersejarah Kota Belanda dan kawasan pemuliharaan penyu di Teluk Ketapang, Pu

Sistem panggilan kecemasan baharu negara NG999 beroperasi mulai hari ini
AI BAWA KEMAJUAN SERTA RISIKO KEPADA EKONOMI GLOBAL – OECD
Malaysia satukan dasar, pelaburan dan modal insan jana masa depan tenaga Asia Tenggara

KUALA LUMPUR,. Dari ruang menunggu feri di Jeti Pangkor sehingga ke tapak bersejarah Kota Belanda dan kawasan pemuliharaan penyu di Teluk Ketapang, Pulau Pangkor kini menawarkan pengalaman meneroka seni dalam suasana yang berbeza menerusi Festival Seni Pangkor 2026.

Festival itu menghimpunkan 16 artis tempatan dan antarabangsa yang menampilkan 14 karya serta projek seni di lapan lokasi sekitar pulau berkenaan, sekali gus menjadikan ruang awam, tapak bersejarah dan persekitaran semula jadi sebagai sebahagian daripada galeri seni terbuka.

Timbalan Pengerusi Persatuan Citra Rupa Malaysia (PERCIKAN) merangkap Pengarah Artistik festival, Faizal Sidik berkata penyertaan 13 artis tempatan dan tiga artis antarabangsa itu mencerminkan usaha memperluas penerokaan seni kontemporari dengan menjadikan keunikan alam semula jadi, warisan maritim dan kehidupan komuniti Pulau Pangkor sebagai sumber inspirasi.

“Festival bertemakan ‘Getaran Ombak: Pertemuan Seni dan Sains’ (Breathing the Wave: Connecting Art and Science) ini bukan sekadar mengetengahkan karya seni, tetapi turut menjadikan Pulau Pangkor sebagai ruang pertemuan seni, sains dan alam sekitar menerusi pendekatan yang menggalakkan pengunjung menghayati keunikan pulau ini dari perspektif berbeza,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata pameran yang berlangsung dari 14 Nov hingga 31 Dis itu melibatkan lapan lokasi, iaitu Galeri Pangkor, Arena Sungai Pinang, Jeti Pangkor, Kota Belanda, Pangkor Minjo@Lot 10, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Teluk Ketapang, Teluk Nipah serta Teluk Dalam.

Faizal berkata pemilihan lokasi berkenaan membolehkan pengunjung menikmati karya seni dalam konteks persekitaran sebenar, selain menghubungkan pengalaman seni dengan sejarah, kehidupan masyarakat dan ekologi pulau itu.

Antara karya yang menarik perhatian ialah instalasi interaktif “The Unwanted Things” (2026) hasil kolaborasi Aznan Omar dan Syed Alwi Syed Abu Bakar yang ditempatkan di ruang menunggu feri di Jeti Pangkor.

Melalui karya itu, pengunjung boleh menggantung barangan terbuang atau yang tidak lagi digunakan pada instalasi berkenaan sementara menunggu feri, sekali gus mengajak mereka merenung isu pengurusan sisa dan kepentingan penggunaan semula bahan.

Pengalaman meneroka pulau itu turut diperluas menerusi dua projek seni digital, “Ilusi Masa” dan “Ilusi Maya”, hasil kerjasama penyelidik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang diketuai Anuar Ayob, Aslina Jainal, Che Nor Iseking serta kolektif Integrated New Media, Electronic Art and Technology.

Menggunakan teknologi realiti terimbuh (AR), projek berkenaan membolehkan pengunjung mengimbas kod QR untuk meneroka Kota Belanda dan kawasan pemuliharaan penyu di Teluk Ketapang melalui kandungan digital interaktif yang menghubungkan persekitaran fizikal dengan maklumat mengenai lokasi tersebut.

Faizal berkata festival itu turut mengangkat isu perubahan iklim, pencemaran marin, kemerosotan biodiversiti dan kelestarian persekitaran pesisir menerusi pelbagai medium, termasuk arca awam, instalasi, fotografi, seni media baharu, persembahan serta eksperimentasi bahan.

Beliau berkata penganjuran festival selama kira-kira enam minggu itu menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung dan berpotensi merancakkan ekonomi setempat menerusi peningkatan permintaan terhadap penginapan, pengangkutan serta perkhidmatan makanan.

“Selain memperkaya pengalaman pelancongan, festival ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan ekologi marin dan biodiversiti Pulau Pangkor supaya khazanah alam semula jadi ini terus terpelihara,” katanya.

Mengulas perancangan masa depan, Faizal berkata festival itu akan dianjurkan secara dwitahunan (biennale) bagi menghubungkan penggiat seni dengan penyelidik dalam meneroka hubungan antara seni, sains dan alam sekitar.

Beliau berkata pendekatan itu menjadikan laut, ekologi marin dan perubahan iklim bukan sahaja sebagai sumber inspirasi, malah medan penyelidikan artistik yang berpotensi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu kelestarian alam.

Usaha itu juga diharap dapat meletakkan Pulau Pangkor sebagai makmal hidup dan galeri seni terbuka, di samping menyokong usaha memperkukuh pelancongan budaya dan kreatif sempena Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.

Festival itu diterajui Faizal bersama Nasir Baharuddin.

— BERNAMA