WARISAN BUDAYA MASYARAKAT SIAM BERPOTENSI JADI TARIKAN PELANCONGAN PERLIS

HomeFeaturedBerita Semasa

WARISAN BUDAYA MASYARAKAT SIAM BERPOTENSI JADI TARIKAN PELANCONGAN PERLIS

PADANG BESAR,. Keunikan warisan budaya masyarakat Siam di Perlis berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan berasaskan komuniti bagi menarik

RAIS YATIM MENGAKU TIDAK BERSALAH ATAS TUDUHAN MENGHASUT
PDRM umum pertukaran 11 pegawai kanan
PERKESO; terima 592 tuntutan bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja

PADANG BESAR,. Keunikan warisan budaya masyarakat Siam di Perlis berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan berasaskan komuniti bagi menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus membuka peluang ekonomi penduduk setempat.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dr Norwan Ahmad berkata adat resam, makanan tradisional, seni budaya serta cara hidup masyarakat Siam mempunyai nilai tersendiri untuk dipromosikan sebagai pengalaman pelancongan autentik.

Beliau berkata penglibatan aktif komuniti tempatan, termasuk menerusi aktiviti kebudayaan dan Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) penting bagi membolehkan pengunjung mengenali warisan serta kehidupan masyarakat Siam dengan lebih dekat.

“Keunikan budaya, warisan, tradisi dan pengetahuan masyarakat Siam merupakan aset pelancongan bernilai yang boleh diketengahkan melalui PPHM MOTAC.

“Penglibatan aktif komuniti membolehkan pengunjung dari dalam dan luar negara yang berminat mengenali warisan budaya, makanan serta kehidupan masyarakat Siam menikmati pengalaman tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pembangunan Kapasiti, Memperkasa Komuniti: Ke Arah Standard Pelancongan Berasaskan Komuniti ASEAN Negeri Perlis 2026 di Wat Siam Kubang Tiga dekat sini hari ini.

Norwan berkata MOTAC turut menggalakkan komuniti Siam yang menawarkan perkhidmatan penginapan supaya meneroka peluang itu dengan mendaftar menerusi PPHM.

Beliau berkata aset semula jadi di Perlis, termasuk gua dan bukit, juga berpotensi dibangunkan sebagai tarikan pelancongan melalui penglibatan komuniti dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berkenaan.

Norwan berkata pembangunan sektor pelancongan memerlukan kerjasama MOTAC, kerajaan negeri, agensi berkaitan dan komuniti setempat bagi memastikan usaha itu dilaksanakan secara mampan tanpa menjejaskan keaslian budaya serta kelestarian alam sekitar.

— BERNAMA