PERKESO; terima 592 tuntutan bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja

HomeFeaturedBerita Semasa

PERKESO; terima 592 tuntutan bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja

KUALA LUMPUR,. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerima sebanyak 592 tuntutan di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) da

Tarikh lihat anak bulan Ramadan 17 Feb
Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Ketua Pengarah RTM dilantik wakil dalam Lembaga MMM
Bernie Sanders dakwa AS bersubahat dalam krisis kemanusiaan di Gaza

KUALA LUMPUR,. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerima sebanyak 592 tuntutan di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) dalam tempoh sebulan pelaksanaannya, dengan faedah melebihi RM1.2 juta disalurkan kepada Orang Berinsurans (OB).

Dalam satu kenyataan, PERKESO memaklumkan faedah itu disalurkan bagi tempoh 1 hingga 30 Jun lalu, iaitu bulan pertama pelaksanaan skim perlindungan keselamatan sosial yang diperluaskan itu.

Antara faedah yang disediakan menerusi LINDUNG 24 Jam ialah Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), yang memberi penggantian pendapatan kepada pencarum yang tidak dapat bekerja ketika menjalani cuti sakit akibat kemalangan di luar waktu bekerja.

Skim itu turut meliputi bayaran rawatan perubatan dan pembedahan, kos implan, Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) berdasarkan penilaian Jemaah Doktor PERKESO, Faedah Orang Tanggungan (FOT), Elaun Layanan Sentiasa (ELS) serta perkhidmatan rehabilitasi di pusat rehabilitasi PERKESO.

Daripada jumlah keseluruhan faedah yang dibayar sepanjang tempoh sebulan itu, kos implan mencatatkan bayaran tertinggi iaitu RM1.16 juta, diikuti FHUS berjumlah RM99,269.

PERKESO berkata skim itu merekodkan purata hampir 20 kes sehari, sekali gus mencerminkan usaha berterusan agensi itu dalam menutup jurang perlindungan sosial yang masih wujud di Malaysia.

“Dahulu, insiden yang berlaku di luar waktu bekerja tidak dilindungi. Dengan LINDUNG 24 Jam, keadaan itu kini berubah.

“Perlindungan keselamatan sosial tidak lagi terhad kepada kemalangan ketika berulang-alik ke tempat kerja atau insiden di tempat kerja, sebaliknya turut meliputi kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja termasuk ketika berada di rumah,” menurut kenyataan itu.

PERKESO berkata, perlindungan bagi pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) terhadap kemalangan di luar waktu bekerja diberikan secara automatik, walaupun potongan caruman bagi perlindungan yang diperluaskan itu masih belum dilaksanakan.

Menurutnya, perkara itu mencerminkan kepentingan LINDUNG 24 Jam sebagai jaringan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh untuk para pekerja.

“Apabila musibah berlaku di luar waktu bekerja, kos rawatan perubatan boleh menjejaskan simpanan keluarga, manakala ketidakupayaan untuk bekerja pula boleh memberi kesan kepada kelangsungan sosioekonomi.

“Sehubungan itu, PERKESO komited untuk memperluas kesedaran mengenai skim LINDUNG 24 Jam supaya lebih ramai memahami manfaatnya, di samping memastikan tiada pekerja yang tercicir daripada menerima perlindungan, termasuk ketika berada di luar waktu bekerja,” menurut kenyataan itu.

PERKESO turut memaklumkan jumlah faedah yang disalurkan setakat ini belum mengambil kira manfaat perkhidmatan rehabilitasi tanpa had yang disediakan kepada pencarum yang layak.

Menurutnya, rawatan rehabilitasi memainkan peranan penting dalam membantu pencarum yang mengalami kecederaan akibat kemalangan di luar waktu bekerja pulih dan kembali bekerja seperti biasa, sekali gus menjamin kelangsungan pendapatan mereka.