KUALA LUMPUR,. Persidangan Antarabangsa Perlindungan Sawit (ICOPP) dengan anjuran bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan International Socie
KUALA LUMPUR,. Persidangan Antarabangsa Perlindungan Sawit (ICOPP) dengan anjuran bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan International Society for Oil Palm Protection (ISOPP), julung kali diadakan bersempena dengan penganjuran Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB (PIPOC) 2025.
Majlis perasmian telah diadakan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas telah disempurnakan oleh Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.
Menurut beliau penyakit dan perosak tanaman terutamanya penyakit reput pangkal batang yang disebabkan kulat Ganoderma boninense serta serangan ulat bungkus (bagworm) merupakan dua cabaran utama dalam industri sawit Malaysia.
“Kawalan Perosak Bersepadu (IPM) yang dibangunkan MPOB menyediakan pendekatan seimbang dan mampan untuk menangani kedua-dua ancaman ini melalui integrasi kaedah biologi, agronomi dan kimia bagi memastikan perlindungan tanaman yang efektif dan jangka panjang,” katanya.
Pada majlis perasmian ICOPP, MPOB turut melancarkan dua buku rujukan baharu yang menggariskan Garis Panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Pengurusan Penyakit Reput Pangkal Batang Ganoderma dan Kawalan Ulat Bungkus.
Garis panduan ini menyediakan rujukan menyeluruh bagi pelaksanaan strategi IPM yang bertujuan meminimumkan kerosakan tanaman serta meningkatkan produktiviti sawit secara mampan.
Penyakit reput pangkal batang (RPB) yang berpunca daripada jangkitan Ganoderma telah menjadi cabaran utama selama lebih lima dekad kerana kesukaran dalam proses pengesanan dan kawalan, yang sering membawa kepada kehilangan hasil yang ketara.
MPOB sejak sekian lama menerajui pelbagai penyelidikan dan kerjasama industri bagi membangunkan strategi pengurusan RPB yang lebih berkesan di peringkat ladang.
Dari aspek perosak pula, Metisa plana, atau lebih dikenali sebagai ulat bungkus, mampu menyebabkan kerosakan meluas pada pelepah sawit dengan membina ‘bungkusan’ daripada cebisan daun sawit.
Serangan terkini dikesan di ladang-ladang pekebun kecil di Perak, Selangor, Pahang dan Johor, melibatkan keluasan hampir 30,000 hektar.
Sejak 15 November 2013, ulat bungkus telah diwartakan sebagai perosak berbahaya di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Di bawah akta ini, pengusaha ladang yang gagal melaporkan atau menguruskan serangan dalam tempoh ditetapkan boleh dikenakan tindakan penalti. Penguatkuasaan tersebut telah meningkatkan kesedaran dan mendorong langkah pencegahan serta kawalan yang lebih sistematik dalam kalangan pengusaha.
Persidangan itu turut menekankan perkembangan penyelidikan terkini bagi menangani jangkitan Ganoderma, langkah-langkah biokeselamatan, kemajuan dalam Kawalan Perosak Bersepadu, teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI), serta inovasi baharu dalam kawalan penyakit dan perosak.
Salah satu pencapaian utama ICOPP 2025 ialah penubuhan rasmi International Society for Oil Palm Protection (ISOPP), sebuah platform profesional yang menghimpunkan para saintis, pakar industri dan pembuat dasar bagi mengukuhkan usaha global dalam memelihara kesihatan dan kelestarian tanaman sawit.
Penubuhan ISOPP dijangka merangsang perkongsian ilmu, inovasi dan kerjasama rentas negara dalam menangani ancaman baharu berkaitan penyakit dan perosak sawit.
