
Lapuran Laksana ke – 19 – MOF
PENGENALAN
1. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Merdeka. Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari berada dalam keadaan sihat wal afiat. Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama menyambut Hari Kebangsaan yang ke-63 pada hari Isnin lalu dan bersama-sama pada petang ini untuk Laporan LAKSANA ke-19.
2. Dalam kesempatan ini, saya ingin merakamkan setulus penghargaan kepada pihak Kementerian dan Agensi terlibat dalam menjayakan Pakej PRIHATIN dan PENJANA. Ini adalah selaras dengan tema Merdeka tahun ini iaitu “Malaysia Prihatin” yang berlandaskan semangat seluruh rakyat Malaysia dalam memerangi wabak Covid-19 bersama.
3. Seperti minggu-minggu lalu, Laporan LAKSANA Ke-19 akan merangkumi 3 perkara:
a. Status pencapaian Pakej PRIHATIN;
b. Status pelaksanaan PENJANA; dan
c. Ulasan isu semasa.
PRIHATIN (Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat)
4. Bagi inisiatif PRIHATIN, minggu ini saya akan beri keutamaan perincian kepada langkah-langkah tertentu, dan selebihnya akan dikongsi sebagai lampiran dan dimuat naik di laman web Kementerian Kewangan iaitu https://www.treasury.gov.my/ serta saluran media sosial rasmi.
5. Kita mulakan dengan Matlamat Pertama iaitu “Lindungi Rakyat”.
6. Pertama, Bantuan Sara Hidup (BSH) yang ditambahbaik di bawah Pakej Prihatin. Seramai 4.18 juta penerima telah berjaya menerima bayaran RM2.7 bilion yang dikreditkan terus ke dalam akaun bank mereka. Penerima BSH yang ‘gagal kredit’ atau bayaran tidak dapat disalurkan ke dalam akaun bank boleh menuntut secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) sehingga 31 Disember 2020.
7. Saya ingin mengingatkan bahawa Permohonan Rayuan BSH 2020 dibuka sehingga 6 September 2020. Tiada sebarang bayaran dikenakan bagi permohonan rayuan. Proses rayuan boleh dibuat melalui Cawangan LHDNM / Pusat Khidmat Hasil (PKH) / Pusat Transformasi Bandar (Urban Transformation Center – UTC) atau secara dalam talian (online) bagi pemohon yang berstatus Tidak Lulus tertentu sahaja. Sila layari pautan bsh.hasil.gov.my/ untuk maklumat lanjut.
8. Kedua, skim pengeluaran i-Lestari di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Sehingga 21 Ogos 2020, jumlah pengeluaran kumulatif di antara April sehingga Ogos 2020 adalah sebanyak RM7.48 bilion (peningkatan daripada RM7.4 bilion minggu lalu) dan melibatkan 4.57 juta penerima (peningkatan daripada 4.55 juta). Kerajaan berharap inisiatif ini terus mengurangkan beban aliran tunai bulanan rakyat.
9. Seterusnya, Matlamat Kedua PRIHATIN iaitu “Sokong Perniagaan”
10. Pertama, Program Subsidi Upah. Sehingga 21 Ogos 2020, sebanyak RM10.3 bilion telah diluluskan yang memanfaatkan lebih 2.61 juta pekerja. Daripada jumlah ini, sebanyak RM8.9 bilion telah berjaya disalurkan.
11. Kedua, Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) (SME Soft Loans Funds) yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Setakat 21 Ogos 2020 jumlah permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS adalah RM10.2 bilion (peningkatan daripada RM10.1 bilion minggu lalu) yang akan memberi manfaat kepada 22,322 PKS (peningkatan daripada 22,143 PKS minggu lalu). Jumlah ini termasuk dana Special Relief Facility,
Automation & Digitalisation Facility, All-Economic Sector Facility dan Agrofood Facility.
a. Alhamdulillah, Special Relief Facility telah dimanfaatkan sepenuhnya dan lebih 21,000 PKS telah menerima kemudahan ini serta membantu dalam mengekalkan lebih 400,000 pekerjaan.
b. PKS masih boleh memohon pelbagai bantuan pembiayaan seperti dana institusi perbankan dan Tabung BNM seperti Automation & Digitalisation Facility, All- Economic Sector Facility dan Agrofood Facility. Untuk maklumat lanjut sila layari https://www.bnm.gov.my/covid19/ yang juga mengandungi langkah-langkah lain yang diambil oleh BNM dan industri kewangan untuk menangani kesan wabak Covid-19.
Dana Pinjaman Mudah PKS Jumlah diluluskan dan disetuju terima* (RM bilion) Jumlah PKS*
21 Ogos 10.2 22,322
14 Ogos 10.1 22,143
7 Ogos 9.9 21,759
Julai 9.6 21,410
Jun 8.4 19,539
Mei 6.9 16,833
April 1.5 3,636
*Jumlah kumulatif
12. Seterusnya, Matlamat Ketiga PRIHATIN iaitu “Perkukuh Ekonomi”.
13. Pertama, bagi Moratorium Bayaran Balik Pinjaman Institusi Kewangan, setakat 21 Ogos 2020 nilai moratorium tersebut dianggarkan berjumlah RM78.14 bilion. Daripada angka ini, sebanyak RM27.35 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh rakyat bernilai RM50.79 bilion.
14. Bagi mereka yang masih memerlukan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar selepas 30 September 2020, institusi perbankan bersedia untuk membantu peminjam. Pihak yang masih terkesan boleh mula hubungi institusi perbankan untuk berbincang dan memohon fleksibiliti pembayaran balik. Sila layari https://www.facebook.com/bnm.official/posts/10158571163499872 untuk maklumat lanjut.
15. Kedua, bagi program pembendungan penularan wabak COVID-19, sebanyak RM1 bilion telah diperuntukkan bagi membiayai pembelian peralatan perubatan, peralatan perlindungan diri (PPE), dan keperluan makmal untuk saringan COVID-
19. Pembendungan wabak Covid 19 adalah faktor kritikal dalam pemulihan ekonomi. Setakat 21 Ogos 2020, sebanyak RM515 juta telah disalurkan dalam usaha meningkatkan keupayaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memerangi COVID-19.
PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara)
Saudara dan saudari yang dihormati,
16. Seterusnya, saya ingin mengulas pencapaian bantuan di bawah PENJANA, di mana inisiatif-inisiatif terbahagi kepada tiga matlamat, iaitu:
a. Memperkasakan Rakyat;
b. Melonjakkan Perniagaan; dan
c. Merangsang Ekonomi.
17. Kita mulakan dengan Matlamat Pertama PENJANA iaitu “Memperkasakan Rakyat”.
18. Pertama, Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi penekanan kepada pengesanan awal penyakit tidak berjangkit kepada golongan B40. Kelayakan menyertai PeKa B40 adalah berdasarkan kriteria berikut:
a. Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar.
b. Berumur 40 tahun dan ke atas.
Antara saringan kesihatan yang dijalankan secara percuma termasuk pemeriksaan kesihatan mental, payudara, ujian darah, diabetes, kolestrol, air kencing dan fungsi buah pinggang. Di antara 1 Julai dan 21 Ogos 2020, sebanyak 57,456 tuntutan di terima yang bernilai RM2.56 juta.
19. Kedua, Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan. RM1.5 bilion telah diperuntukkan untuk program ini bagi menggalakkan pengambilan pekerja oleh majikan. Secara keseluruhan seramai 20,574 (peningkatan daripada 17,400 minggu lalu) pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan. Jumlah ini merangkumi 15,113 orang di bawah umur 40 tahun, 2,856 orang bagi 40 – 60 tahun, 220 OKU dan 2,385 Perantis.
20. Ketiga, Program Bantuan Sosial bagi Golongan Mudah Terjejas. Kerajaan prihatin terhadap golongan mudah terjejas dan telah memperuntukkan RM300 secara ‘one-off’ kepada OKU berdaftar, ibu tunggal, serta sukarelawan Program Khidmat Bantu di Rumah. Setakat 21 Ogos 2020, sejumlah RM60.66 juta (peningkatan daripada RM59.14 juta minggu lalu) telah disalurkan dan telah memanfaatkan 202,204 penerima (peningkatan daripada 197,125 penerima minggu lalu) yang merangkumi:
a. OKU berdaftar: RM55.7 juta (185,713 penerima)
b. Ibu tunggal: RM4.4 juta (14,676 penerima)
c. Sukarelawan Program Khidmat Bantu di Rumah: RM544,500 (1,815 penerima)
21. Seterusnya ialah Matlamat Kedua PENJANA iaitu “Melonjakkan Perniagaan”.
22. Memandangkan PKS merupakan sumber pertumbuhan ekonomi domestik yang penting, PENJANA menekankan strategi khusus untuk menyokong PKS melalui peningkatan akses kepada pembiayaan bagi meningkatkan keupayaan dan kapasiti mereka.
23. Pertama, Skim Pemulihan Perniagaan Tekun atau TEKUN Business Recovery Scheme – TBRS). Setakat 21 Ogos 2020, sebanyak RM35.43 juta telah disalurkan dan memanfaatkan 5,025 PKS Mikro.
24. Kedua, Pembiayaan PKS PENJANA untuk PKS yang terkesan COVID-19. Kerajaan telah memperuntukkan dana berjumlah RM2 bilion dan akan memberi keutamaan kepada PKS yang belum pernah mendapat pinjaman dari bank. Sehingga
21 Ogos 2020, sebanyak 1,172 permohanan PKS telah diluluskan pinjaman (peningkatan daripada 803 minggu lalu) dengan nilai pinjaman sebanyak RM329.5 juta (peningkatan daripada RM234.7 juta minggu lalu).
25. Ketiga, Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA atau PENJANA Tourism Fund (PTF). Tujuan kemudahan ini adalah untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan dalam sektor pelancongan yang terkesan COVID-19. PKS yang layak boleh memohon pembiayaan sehingga RM300,000, manakala PKS mikro boleh memohon sehingga RM75,000 pada kadar pembiayaan sehingga 3.5% setahun bagi tempoh pembiayaan sehingga 7 tahun. Sebanyak 12 institusi kewangan terlibat dalam skim pembiayaan ini. Butiran terperinci mengenai skim ini boleh didapati melalui laman sesawang PENJANA https://penjana.treasury.gov.my/
26. Keempat, Pembiayaan Mudah Bumiputera atau Bumiputra Relief Financing (BRF). Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menawarkan pembiayaan inisiatif khas bernilai RM200 juta. Inisiatif yang dilancarkan pada 25 Ogos 2020 ini adalah untuk membantu syarikat Bumiputera meneruskan perniagaan mereka dengan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta. Pembiayaan ini terbuka kepada semua usahawan PKS yang terbabit dalam sektor peruncitan dan pengedaran perdagangan, pembuatan dan kejuruteraan, automasi sistem, kesihatan, hospitaliti, penggerak perniagaan, logistik, penggudangan serta perkhidmatan dan industri kreatif. Permohonan BRF dibuka sehingga 30 November dan boleh dibuat secara dalam talian di portal rasmi PUNB di pautan www.punb- online.com.my/.
27. Kelima, Kempen E-Dagang bagi PKS dan PKS Mikro. Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan e-dagang oleh PKS dengan memudahkan peralihan kepada digitalisasi perniagaan. Program ini dibiayai bersama di antara Kerajaan dan
20 platform e-dagang. Platform e-dagang yang terlibat akan menyediakan kemudahan latihan onboarding e-dagang, subsidi jualan, dan khidmat sokongan jualan. Sehingga 21 Ogos 2020, sebanyak 77,000 PKS dan PKS Mikro (peningkatan daripada 71,000 PMPKS minggu lalu) telah menerima manfaat. Perniagaan tempatan yang mahu menyertai kempen tersebut boleh mendaftar menerusi www.go- ecommerce.my/PENJANA.
28. Keenam, Kempen “Shop Malaysia Online”. Kempen ini pula merupakan kerjasama di antara Kerajaan dengan 22 penyedia platform e-dagang untuk membiayai secara bersama diskaun e-baucar bagi menggalakkan pembelian produk tempatan secara dalam talian. Inisiatif ini juga dijangka akan meningkatkan permintaan terhadap produk tempatan. Sehingga 21 Ogos 2020, seramai 3.4 juta pengguna (peningkatan daripada 2.8 juta pengguna minggu lalu) telah menerima manfaat kempen ini.
PENJANA MATLAMAT 3: MERANGSANG EKONOMI
29. Seterusnya, bagi matlamat merangsang ekonomi di bawah PENJANA. Pertama, Sukuk Prihatin: Sukuk Prihatin adalah sebuah inisiatif yang membuka peluang kepada Rakyat Malaysia untuk melabur dalam usaha membina semula negara pasca krisis pandemik COVID-19. Alhamdulillah, majlis pelancaran telahpun disempurnakan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang berkenan menjadi individu pertama melabur dalam Sukuk Prihatin.
30. Sukuk Prihatin merupakan penerbitan sukuk pertama oleh kerajaan yang boleh dilanggani atau dibeli 100 peratus melalui perkhidmatan perbankan digital iaitu menggunakan kemudahan JomPAY dan DuitNow. Jumlah minima bagi pelaburan ialah RM500 dan kadar keuntungan adalah dua peratus setahun, selama dua tahun. Pelabur boleh memilih untuk menderma jumlah langganan kepada Kumpulan Wang COVID-19 dan jumlah ini akan diberi potongan cukai. InsyaAllah, dengan penerbitan sukuk ini dan juga sokongan rakyat yang berjiwa patriotik dan bersemangat nasionalisme, dana yang terkumpul akan disalurkan terus kepada inisiatif-inisiatif seperti:
• Meningkatkan connectivity internet kepada sekolah-sekolah luar bandar;
• Menyokong geran penyelidikan penyakit-penyakit berjangkit; dan
• Pembiayaan geran kepada perusahaan mikro terutamanya usahawan wanita.
31. Kedua, ePenjana. Sehingga 21 Ogos, 9.91 juta rakyat telah berjaya menerima RM50 dalam e-Dompet mereka dengan jumlah nilai sebanyak RM495.4 juta.
32. Ketiga, Dana Penjana. Dana Penjana Nasional (DPN) yang dilancarkan pada 27 Ogos 2020 (DPN) dirangka oleh Kerajaan untuk memacu pemulihan ekonomi negara melalui pelaburan strategik yang berupaya memangkinkan inovasi, merancakkan usaha digitalisasi perkhidmatan dan mendorong penggunaan teknologi dalam perniagaan merentas pelbagai sektor. Keseluruhan peruntukan dana adalah bernilai RM1.2 bilion, iaitu RM600 juta sumbangan modal pelaburan daripada pelabur antarabangsa yang menjalinkan usahasama strategik dengan pelabur domestik dan dipadankan RM600 juta suntikan pelaburan daripada Kerajaan. Ini dijangka akan menyumbang kepada Pelaburan Langsung Asing atau Foreign Direct Investment (FDI).
ULASAN ISU SEMASA
33. Seterusnya, saya ingin mengulas sedikit mengenai statistik ekonomi yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bagi bulan Jun dan Julai. Alhamdulillah, hasil dari inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan, kita mula melihat bibit-bibit awal kesan positif untuk negara. Pada bulan Julai, kita dapat melihat antara lain pemulihan kepada angka jumlah eksport, kadar pengangguran, Indeks Pembuatan Industri dan lain-lain indikator ekonomi. Malah hasil KDNK Suku Kedua, jika dianalisa dari bulan ke bulan, kita dapat lihat peningkatan yang mendadak dari bulan April (-28.6%) ke bulan Jun (-3.2%). Ini membayangkan penumbuhan yang lebih baik pada bulan- bulan akan datang, InsyaAllah.
34. Many businesses have also expressed their cautious optimism for the second half of 2020, reflecting improved sentiments. Walaubagaimana pun, Kerajaan peka terhadap sektor yang terjejas teruk khususnya yang terlibat dalam sektor pelancongan terutama akibat penutupan sempadan antarabangsa yang akan berterusan sehingga 31 Disember 2020. Tumpuan dan usaha Kerajaan akan diselaraskan bagi menggalakkan permintaan di dalam sektor-sektor ini.
35. Saya juga ingin berkongsi bahawa pada tanggal 24 Ogos 2020 lalu, ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat telah sebulat suara, merentas parti dan ideologi, bersetuju meluluskan pakej rangsangan yang melibatkan suntikan fiskal RM45 billion untuk memerangi COVID-19.
36. Apa yang jelas ialah sokongan kepada RUU ini membuktikan bahawa ahli Parlimen kita mampu untuk merentasi jurang perbezaan politik untuk menzahirkan yang terbaik untuk rakyat. Terdapat ramai suara yang meminta agar peruntukan RM45 billion itu digandakan. Pada prinsipnya saya turut setuju, tetapi sebarang penggandaan pakej perlu pertimbangan sangat rapi. Bukan nilai sahaja yang menentukan keberkesanan sesuatu pakej stimulus, tetapi perincian inisiatif, sasaran rangsangan dan disiplin fiskal semuanya memainkan peranan.
37. Dalam dua bulan yang akan datang ini, selain dari memastikan pelaksanaan Pakej PRIHATIN dan PENJANA, fokus Kementerian adalah kepada pemulihan ekonomi melalui perancangan fasa Belanjawan 2021. Bagi belanjawan 2021, maklum balas daripada semua golongan masyarakat adalah amat dialu-alukan. Rakyat boleh mula mengemukakan cadangan melalui http://belanjawan2021.treasury.gov.my. Portal tersebut akan dibuka sehingga 15 September 2020.
38. Sekian sahaja laporan saya untuk kali ini. Sebelum mengakhiri, terimalah serangkap pantun dari saya:
Berlayar Laksamana di kala pagi, Kelana jauh kemudi bahtera; Kerajaan cekal menyusun strategi, Beransur pulih Ekonomi Negara.
39. Stay safe semua dan sehingga kita berjumpa lagi. Terima kasih.
YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Aziz
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia 2 September