
Festival Amerika Latin ke 12 secara digital – Guido F.Loayza
Oleh V. Sankara
KUALA LUMPUR, 22 Sept — Festival Amerika Latin ke 12, yang akan mempamerkan kepelbagaian etnik serta budaya Amerika Latin dan Caribbean, buat pertama kalinya akan berlangsung secara dalam talian.
Duta Besar Peru ke Malaysia, Guido F.Loayza berkata acara kebudayaan dua hari bermula 5 petang ini, akan menyiarkan tayangan video mengenai makanan, muzik, kesenian dan kraftangan, warisan serta budaya di benua itu.
“Festival Amerika Latin tahun ini akan sangat berbeza, diadakan secara dalam talian kerana sekatan yang dikenakan berikutan COVID-19,” katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif di Wisma Bernama, di sini, hari ini.
Beliau berkata kedutaan dari Argentina, Brazil, Colombia, Cuba, Mexico, Peru dan Uruguay akan mengambil bahagian dalam acara tersebut, yang dianjurkan bersama oleh Kumpulan Amerika Latin dan Negara-negara Caribbean (GRULAC) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) .
“Festival ini merupakan peluang yang baik untuk meningkatkan hubungan persahabatan negara-negara Amerika Latin-Malaysia di samping mendekatkan kekayaan budaya benua itu dengan rakyat Malaysia,” kata duta besar itu, yang mewakili kedutaan GRULAC di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai festival tersebut, lawati https://www.facebook.com/lafmalaysia/.
— BERNAMA