Isu penghantaran pulang pelarian Rohingya dominasi mesyuarat peringkat tinggi UNGA

NEW YORK,. “Isu panas” hampir 900,000 pelarian Rohingya, yang kini mendapatkan perlindungan di wilayah Cox’s Bazar di Bangladesh selepas melarikan diri dari Myanmar dua tahun lepas daripada keganasan yang membelenggu mereka di negara itu, mendominasi ucapan kebanyakan pemimpin dunia dalam sesi mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Berdepan pelbagai kritikan semasa UNGA berlangsung di New York pada minggu lepas, Myanmar dilihat cuba meminimumkan kerosakan apabila seorang menteri kanan negara itu dalam ucapannya menyatakan bahawa Myanmar kini memberikan keutamaan kepada langkah penghantaran pulang sejumlah besar pelarian ke Myanmar.

Kyaw Tint Swe, Menteri Penyatuan bagi Pejabat Kaunselor Negara Myanmar, berkata negara itu sedia melaksanakan penghantaran pulang itu bagi mematuhi perjanjian November 2017 yang dimeterai dengan Bangladesh.

“Keutamaan kami kini ialah mempercepat penghantaran pulang dan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk mereka yang telah disahkan akan dihantar pulang,” katanya yang turut menonjolkan kerjasama dengan Bangladesh, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), antara lain.

Swe berkata mereka yang tersingkir adalah penduduk di negeri Rakhine “yang mempunyai status perundangan berbeza” dan menambah bahawa mereka yang layak akan menerima kad kewarganegaraan. Bakinya akan menerima Kad Pengesahan Nasional yang serupa dengan “kad hijau” yang dikeluarkan kepada imigran di Amerika Syarikat.

Swe berkata kerajaan Myanmar telah melakukan usaha untuk mengembalikan keamanan ddan kestabilan di negeri Rakhine, yang “sebelum ini menyaksikan serangan ganas oleh ARSA (Tentera Penyelamat Rohingya Arakan) pada 2016 dan 2017 yng mencetuskan krisis kemanusiaan ketika ini.”

Beliau berkata kira-kira 300 orang telah kembali ke Myanmar secara sukarela “meskipun berdepan pelbagai halangan, termasuk pembunuhan dan ancaman daripada ARSA.”

Bagaimanapun beliau turut menggesa Bangladesh agar komited dalam melaksanakan perjanjian dua hala itu yang “merupakan satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu orang yang tersingkir.”

Swe berkata satu inkuiri tentera akan menentukan akauntabiliti insiden-insiden yang berlaku di negeri Rakhine disusuli mahkamah tentera.

Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina, yang turut berucap di UNGA, telah menyifatkan krisis Rohingya sebagai satu cabaran segera yang terpaksa didepani oleh negaranya.

“Kini, semasa kami menyediakan bantuan kemanusiaan sedaya-upaya kami kepada pelarian Rohingya, kami mahukan satu penyelesaian yang aman dan segera kepada krisis itu. Myanmar telah mewujudkan krisis ini, oleh itu penyelesaiannya juga terletak di Myanmar,” katanya.

Pada satu acara lain yang berlangsung sempena UNGA, Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad turut membicarakan nasib yang menimpa penduduk Rohingya di negeri Rakhine, Myanmar.

“Apa yang berlaku di negeri Rakhine ialah genosid. Apa yang berlaku ialah pembunuhan beramai-ramai, rogol secara sistematik dan pencabulan keji lain ke atas hak-hak asasi manusia,” katanya pada majlis yang turut dihadiri rakan sejawatnya dari Bangladesh, Sheikh Hasina.

Selain menyalurkan bantuan kemanusiaan, Malaysia kini mengendali satu hospital medan di Cox’s Bazar; yang merawat hampir 100,000 pelarian Rohingya sebagai pesakit berdaftar dan kebanyakan mereka tidak mempunyai dokumen.

Menurut Alice Wells, Pemangku Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Asia Tengah dan Selatan di Jabatan Negara Amerika Syarikat, sebagai penyumbang terbesar bantuan kemanusiaan kepada Bangladesh bagi meringankan beban negara itu, turut menggesa Myanmar agar terlibat dalam dialog dengan Bangladesh bagi melaksanakan syor-syor yang terdapat dalam laporan Kofi Annan.

— BERNAMA

Oleh By Manik Mehta

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )