Bot nelayan asing ceroboh perairan negara diusir maritim Batu Pahat

Bot nelayan asing ceroboh perairan negara diusir maritim Batu Pahat

BATU PAHAT, 8 Nov — Sebuah bot nelayan Indonesia bersama 28 kru yang menceroboh perairan negara diusir keluar oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat pada kira-kira 5 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata kehadiran bot itu dikesan pada kedudukan 14.8 batu nautika barat daya perairan Tanjung Laboh.

Beliau berkata bot nelayan dari negara jiran itu dikesan ketika Op Jaksa di Sektor 7 perairan selepas Bot Benteng Maritim mendekatinya untuk pemeriksaan.

“Bot berwarna hijau biru dengan nombor pendaftaran A/711/KP-PS/001132 itu didapati telah melepasi satu batu nautika dari garis sempadan perairan Malaysia-Indonesia dan telah diiring serta diusir keluar hingga ke sempadan perairan.

“Ini merupakan pengusiran pertama yang dilakukan oleh Maritim Negeri Johor setelah arahan penahanan ditangguhkan sementara berikutan langkah pencegahan penularan COVID-19 oleh warga asing,” menurutnya dalam satu kenyataan media.

Nurul Hizam juga berkata Maritim Negeri Johor komited dalam menggalas tugas serta tanggungjawab walaupun berdepan cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu pada hujung tahun demi memastikan tiada pencerobohan oleh bot nelayan asing dan warga asing ke dalam perairan negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )