Kastam rampas minuman keras lebih RM650,000

Kastam rampas minuman keras lebih RM650,000

ALOR SETAR,. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas minuman keras dianggarkan bernilai RM654,869 termasuk cukai dalam serbuan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor, pada 25 November lepas.

Pengarahnya, Azizah Kechik berkata serbuan dilakukan sepasukan pegawai Cawangan Penguatkuasaan JKDM Alor Setar dan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM kira-kira pukul 12 tengah hari menerusi ‘Ops Cantas’ selepas pemantauan ke atas kontena itu dilakukan sejak dua minggu lepas.

“Hasil pemeriksaan ke atas kontena dari India itu telah menemukan sebanyak 717 karton minuman keras jenama ‘Imperial Blue’ yang mengandungi 1,224 botol atau 6,022 liter yang dianggarkan bernilai RM248,976 dengan anggaran cukai sebanyak RM405,839,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, siasatan mendapati kesemua minuman keras itu dipercayai untuk dijual di pasaran negara ini sempena sambutan perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, iaitu memiliki barang tidak berkastam. Kita sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kegiatan itu,” katanya.

Sementara itu, Azizah berkata dalam ‘Ops Cantas’ yang dilaksanakan bermula 10 hingga 24 Nov lepas, pihaknya berjaya menahan 16 individu dan merampas pelbagai jenis barangan belum lulus kastam.

Katanya, 12 kes membabitkan rampasan minuman keras yang bernilai RM42,347 termasuk cukai, enam kes rampasan rokok bernilai RM60,461 termasuk cukai dan dua kes rampasan dua buah kereta bernilai RM375,760 termasuk cukai.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )