Ibu bapa lega Ahmad Amzad sumbang 100 tablet untuk PdPR

Ibu bapa lega Ahmad Amzad sumbang 100 tablet untuk PdPR

KUALA TERENGGANU,. “Terima kasih banyak kepada Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ahmad Amzad Hashim atas sumbangan tablet ini, semoga anak kami dapat manfaatkan ia sepenuhnya”.

Itu luahan gembira beberapa ibu bapa yang menerima sumbangan tablet daripada Ahmad Amzad untuk memudahkan anak mereka menjalani proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Bagi Ahmad Arsad Mamat, 49, tablet itu diharap dapat membantu melancarkan lagi pembelajaran anaknya, Nur Ain Fikriah yang merupakan pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Agama Khairiyah, Kuala Terengganu.

“Sebelum ini tiga anak saya berkongsi telefon untuk belajar, jadi bila dapat sumbangan tablet ni memang syukur sangat lah. Anak saya pun nampak bersemangat bila dah ada tablet sendiri.

“Saya memang tidak mampu nak beli tablet untuk anak kerana pendapatan sebagai buruh kecil sahaja. Saya pun baru dua minggu keluar dari hospital kerana masalah injap jantung…jadi memang tak boleh bekerja kuat lagi buat masa sekarang,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Seorang lagi penerima, Wan Aiman Asyraf Wan Shahril Redhuan, 15, berkata beliau bersyukur kerana memperoleh tablet itu semalam kerana dapat mengulang kaji pelajaran dengan lebih mudah selepas ini.

“Sebelum ini, saya kena kongsi tiga beradik…agak leceh sedikit sebab ambil masa yang lama untuk bergilir…tapi bila dah ada tablet sendiri ni, rasa lebih bersemangat dan seronok. Tak sabar nak gunakan untuk sesi PdPR,” katanya yang bersekolah di SMK Dato’ Ghazali di sini.

Sementara itu, Ahmad Amzad ketika dihubungi Bernama berkata beliau telah menggunakan hasil simpanan gaji dan elaunnya yang dikumpul sejak tiga bulan lepas untuk membeli 100 unit tablet bagi kegunaan pelajar yang memerlukan.

“Sebahagiannya saya serahkan sendiri melalui program turun padang ziarah rakyat yang diadakan sepanjang masa dan yang lainnya diagihkan melalui Pusat Khidmat saya (Ahli Parlimen Kuala Terengganu).

“Memang menjadi amalan saya untuk menyimpan sebahagian daripada wang gaji dan elaun setiap bulan untuk tabung kebajikan masyarakat yang diasingkan daripada peruntukan khas Parlimen Kuala Terengganu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebelum ini, wang tabung itu digunakan untuk membantu masyarakat yang menghadapi musibah atau kesusahan, namun sejak PdPR bermula dan banyak masalah kekurangan peranti elektronik dihadapi pelajar, ia mula digunakan untuk tujuan itu.

“Selain 100 tablet yang dibeli itu, saya juga ada serahkan 150 unit lagi hasil sumbangan beberapa pihak yang mahu membantu. Senarai agihan saya peroleh daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung dari empat kawasan Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Kuala Terengganu iaitu Ladang, Batu Buruk, Wakaf Mempelam dan Bandar,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )