Perarakan lantang peringati kematian George Floyd

Perarakan lantang peringati kematian George Floyd

MINNEAPOLIS: Para penyokong dan ahli keluarga mangsa keganasan polis George Floyd berarak kelmarin menjelang ulang tahun pertama pembunuhan lelaki kulit hitam itu oleh anggota polis kulit putih yang mendesak pembalasan terhadap ketidakdilan perkauman di Amerika Syarikat (AS).

Kira-kira 1,500 orang berarak di Minneapolis sambil mendengar ucapan dan menyertai anggota keluarga Floyd serta saudara mara orang kulit hitam lain yang terbunuh di tangan pihak polis. Floyd, 46, dibunuh pada 25 Mei tahun lepas oleh anggota polis bandar Derek Chauvin yang menekan lehernya dengan lutut selama lebih sembilan minit.

Chauvin yang disabitkan juri atas pembunuhan dan pembunuhan tanpa niat, akan dijatuhkan hukuman pada 25 Jun ini. Rali dimulai dengan beberapa ucapan di luar Pusat Kerajaan Daerah Hennepin di tengah Minneapolis di mana Chauvin berdepan perbicaraan.

“Ia adalah satu tahun yang panjang dan amat menyakitkan. “Kejadian ini amat mengecewakan saya dan keluarga saya,” Bridgett, adik perempuan Floyd, memberitahu dalam perhimpunan itu.

Bridgett menyatakan bahawa hidupnya berubah dalam sekelip mata apabilanya abangnya meninggal dunia. “Saya akan berdiri dan menjadi suara bagi beliau. “Saya akan berdiri dan menjadi perubahan untuk beliau,” jelasnya.

Kematian Floyd mencetuskan protes terhadap ketidakadilan perkauman di sekitar AS dan seluruh dunia. Penganjur kempen veteran Reverend Al Sharpton memberitahu orang ramai bahawa pembunuhan Floyd merupakan salah satu kejadian yang cukup memalukan dalam sejarah Amerika.

“Apa yang berlaku kepada George Floyd, termasuk ramai yang lain, telah membawa perubahan bukan sahaja di sekitar Amerika malah di seluruh dunia,” jelas beliau. “Mereka menyangka mereka boleh terlepas daripadanya, dan anda semua telah pergi ke jalan raya, kulit hitam dan putih, tua dan muda, di tengah-tengah pandemik ini bagi menyeru untuk keadilan,” kata Sharpton.

“Penting untuk kita hadir mewakili keluarga Floyd dan ketidakadilan yang terus tersebar dalam masyarakat,” kata Lenora McFarthing, 67, dari St. Paul, Minnesota, pesara pengarah AT&T Wireless.

“Kamu tidak boleh hanya duduk di rumah dan menonton TV serta menghantar ciapan serta muncul dalam media sosial. “Kamu perlu tampil kerana masyarakat mengharapkan perubahan,” kata beliau.
Kekecewaan dirasai di Minneapolis ekoran pe-ningkatan keganasan dalam bandar.

Kemarahan terhadap kadar homisid yang meningkat dan keganasan senjata lain di mana kejadian terbaharu dalam masa tiga minggu me-nyaksikan tiga kanak-kanak terkena peluru sesat, telah membawa kepada pembentukan pasukan peronda umum.

Datuk Bandar Minneapolis Jacob Frey merancang untuk menambah 200 pegawai dalam pasukan polis yang berkurangan di bandar tersebut dan menyeru lebih banyak bantuan daripada agensi penguatkuasaan undang-undang luar,

Beliau juga menyokong usaha yang dilakukan komuniti, termasuk peronda rakyat. “Anggota polis Minneapolis akan terus bertindak dalam cara yang membaha-yakan bagi menyelamatkan nyawa,” Ketua Polis Medaria Arradondo berkata selepas kejadian tembakan terbaharu Sabtu lepas.

“Kekuatan sebenar kita adalah ketika kita semua bekerjasama untuk memastikan bandar kita selamat.”

— AFP

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )