
Maxis anjur persidangan maya Spark UsahaWIRA perkasakan pendigitalan PKS
KUALA LUMPUR,. Maxis Bhd akan menganjurkan persidangan maya Spark UsahaWIRA selama dua hari, bermula 24-25 Ogos 2021, untuk membimbing para pemilik syarikat tempatan dan mereka yang ingin menceburi bidang keusahawanan agar dapat mengembangkan perniagaan masing-masing menerusi pendigitalan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis Paul McManus berkata persidangan itu akan menampilkan pemimpin industri terkemuka, tokoh teknologi dan ekonomi negara serta ahli perniagaan tempatan yang telah berjaya dalam perjalanan keusahawanan digital mereka.
Antaranya termasuk Najib Asaddok, Ketua Pegawai Eksekutif Momentum Internet; selebriti tempatan Erma Fatima, pengasas Mak Cun dan Padzilah Enda Sulaiman, pengasas Telekung Siti Khadijah.
“Kami mendapat inspirasi daripada semangat inovatif dan kreatif dalam kalangan para usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang telah berjaya mengharungi pelbagai rintangan meskipun menghadapi keadaan getir,” katanya.
Persidangan maya ini merupakan lanjutan kepada program UsahaWIRA Maxis yang dilancarkan pada Mei lepas yang bertujuan memperkasakan PKS dan usahawan bagi membantu mereka mempercepat pemulihan semula perniagaan dan membina ketahanan masa depan melalui digitalisasi.
– BERNAMA