MIRI: Selepas dua dekad mewarnai industri muzik tanah air, penyanyi veteran terkenal Imran Ajmain bakal mencipta sejarah tersendiri apabila pertama ka
MIRI: Selepas dua dekad mewarnai industri muzik tanah air, penyanyi veteran terkenal Imran Ajmain bakal mencipta sejarah tersendiri apabila pertama kali mengadakan persembahan di Borneo menerusi konsert ‘Imran Ajmain – Malam Seribu Tahun – Live in Miri’ pada 13 Februari depan di Eastwood Valley Golf & Country Club.
Konsert berkenaan bukan sahaja dinanti-nantikan peminat setia penyanyi itu, malah dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi bandar raya Miri, khususnya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan.
Timbalan Datuk Bandar Miri Kaunselor Ariffin Mohamad berkata, penganjuran konsert tersebut selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, yang menyasarkan kehadiran 43 juta pelawat ke seluruh negara.
“Acara ini berpotensi meningkatkan daya tarikan Miri sebagai destinasi pelancongan, selain merancakkan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya pada sidang media di Dewan Bandaraya Miri, semalam.
Beliau berkata, konsert berkenaan mempunyai tarikan serantau yang kuat dengan sambutan daripada peminat di Malaysia serta negara jiran seperti Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura.
“Malah setakat ini pengunjung dari Brunei Darussalam membentuk sebahagian besar pembeli tiket, sekali gus membuktikan daya tarikan konsert ini di peringkat serantau,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Front Row merangkap pengerusi penganjur Zaid Zaini berkata, Imran Ajmain kekal mempunyai kelompok peminat setia merentasi sempadan sepanjang 20 tahun kerjaya seninya, dengan populariti yang ketara di Malaysia Timur dan Brunei.
Menurutnya, faktor tersebut menjadikan Miri lokasi strategik bagi persembahan sulung Imran Ajmain di Borneo.
“Konsert ini dijangka menggalakkan perjalanan rentas sempadan serta tempoh penginapan yang lebih lama di Miri,” katanya.
Zaid turut mengalu-alukan peminat muzik dari seluruh Sarawak untuk mengambil kesempatan melakukan perjalanan darat ke Miri, khususnya dengan kemudahan Lebuh Raya Pan Borneo yang semakin lengkap, selain beberapa jalan utama dan jambatan baharu yang telah siap dibina atau dinaik taraf.
“Kami mengajak peminat muzik untuk merancang percutian singkat ke Miri dan menyaksikan sendiri persembahan Imran Ajmain secara langsung,” katanya.
-Agensi

