Salah akhiri kemarau gol ketika Liverpool mara ke 16 akhir Liga Juara-Juara

HomeFeaturedSukan Dan Kesihatan

Salah akhiri kemarau gol ketika Liverpool mara ke 16 akhir Liga Juara-Juara

LIVERPOOL: Mohamed Salah menamatkan kemarau gol bersama Liverpool ketika "The Reds" membelasah Qarabag 6-0 pada Rabu untuk mengesahkan tempat ke pusin

Negara G7 bakal lepaskan 100 juta tong minyak dan bahan api diesel selepas harga melambung
Suruhanjaya TVET dimuktamad akhir tahun ini – Ahmad Zahid
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

LIVERPOOL: Mohamed Salah menamatkan kemarau gol bersama Liverpool ketika “The Reds” membelasah Qarabag 6-0 pada Rabu untuk mengesahkan tempat ke pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara, sekali gus meredakan tekanan terhadap pengurus Arne Slot.

Skuad kendalian Slot ternyata terlalu kuat buat kelab kerdil dari Azerbaijan itu dengan gol babak pertama daripada Alexis Mac Allister dan Florian Wirtz di Anfield.

Salah menjaringkan gol ketiga selepas waktu rehat dalam penampilannya yang ke-80 di Liga Juara-Juara untuk Liverpool, untuk menyamai rekod kelab.

Ia merupakan gol pertama penyerang Mesir itu buat Liverpool sejak 1 November, sekali gus mengakhiri kemarau lapan perlawanan.

Hugo Ekitike menjaringkan gol keempat sebelum Mac Allister dan Federico Chiesa melengkapkan kemenangan terbesar Liverpool dalam semua kejohanan sejak 2023.

Selain mengelak pusingan playoff, kejayaan Liverpool menamatkan fasa liga di tangga ketiga memberikan mereka kelebihan untuk menjadi tuan rumah bagi perlawanan timbal balik pusingan 16 akhir nanti.

“Saya sangat berpuas hati. Kami tahu kami masih boleh bertambah baik di kedua-dua kawasan kotak penalti, tetapi ini persembahan yang sangat baik,” kata Slot.

“Sentiasa penting untuk mendapatkan gol awal bagi menarik sokongan penyokong. Kami tahu kami boleh melakukan lebih baik lagi.”

Mac Allister menambah: “Kami terlepas dua perlawanan playoff, ia sangat penting dalam musim yang panjang seperti ini. Kami tahu kami beraksi lebih baik dalam Liga Juara-Juara berbanding di Liga Perdana.”

Walaupun dibelasah di Merseyside, Qarabag tetap layak ke pusingan playoff selepas menamatkan saingan di tangga ke-22.

Slot mengakui “bunyi” (kritikan) di sekitar Liverpool munasabah dan mustahil untuk dihentikan melainkan mereka melakukan “sesuatu yang istimewa” pada bulan-bulan terakhir musim ini. Liga Juara-Juara dan Piala FA menawarkan harapan untuk memenuhi cita-cita tersebut.

Virgil van Dijk merupakan satu-satunya pemain pertahanan tengah Liverpool yang cergas selepas Ibrahima Konate dan Joe Gomez diketepikan, memaksa Slot meletakkan pemain tengah Belanda, Ryan Gravenberch, di tengah pertahanan.

Pilihan pertahanan Slot semakin berkurangan apabila Jeremie Frimpong terpaksa keluar cedera selepas hanya tiga minit permainan.

Bagaimanapun, Liverpool tidak goyah. Masalah mereka dengan sepakan percuma dan sudut sebelum ini menyebabkan Slot memecat jurulatih bola mati, Aaron Briggs pada Disember.

Lewis Mahoney, yang menggantikan Briggs, merangka rutin sepakan penjuru yang membawa kepada gol pembukaan pada minit ke-15 hasil tandukan Mac Allister.

Wirtz menggandakan kelebihan pada minit ke-21 dengan gol pertamanya di Liga Juara-Juara sejak tiba dari Bayer Leverkusen. Salah kemudian menghantar sepakan percuma melepasi penjaga gol Qarabag, Mateusz Kochalski, lima minit selepas babak kedua bermula.

Ekitike memecut solo untuk menjaringkan gol keempat pada minit ke-57, sebelum Mac Allister menambah gol kelima empat minit kemudian. Chiesa melengkapkan malam gemilang itu dengan gol pertamanya sejak September.

-Agensi