GEORGE TOWN,. Pelabuhan Pulau Pinang menerusi Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT) merekodkan peningkatan 52.12 peratus jumlah penumpang ba
GEORGE TOWN,. Pelabuhan Pulau Pinang menerusi Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT) merekodkan peningkatan 52.12 peratus jumlah penumpang bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, iaitu 569,173 orang berbanding 374,171 orang dalam tempoh sama tahun lepas.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin berkata peningkatan tersebut didorong oleh pertumbuhan jumlah penumpang antarabangsa yang mencecah 431,793 orang berbanding 342,771 orang pada tahun sebelumnya.
“Selain itu, jumlah penumpang harian tempatan turut menunjukkan lonjakan ketara kepada 137,362 orang berbanding hanya 31,400 orang.
“Di samping itu, jumlah singgahan kapal di SPCT meningkat kepada 538 kapal berbanding 134 kapal dalam tempoh yang sama tahun lepas, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan industri pelayaran antarabangsa terhadap Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata kehadiran lebih banyak kapal persiaran turut memberikan limpahan ekonomi yang positif kepada pelbagai sektor termasuk perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman serta perusahaan tempatan, sekali gus memperkukuh peranan SPCT sebagai pemangkin utama kepada pembangunan pelancongan maritim negara serta wilayah utara.
Sehubungan dengan itu, Yeoh yang juga Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia berharap momentum pertumbuhan tersebut dapat dikekalkan menerusi kerjasama erat antara pihak berkuasa pelabuhan, kerajaan negeri, agensi pelancongan dan pemain industri.
Dengan kedudukan strategik Pulau Pinang, kemudahan pelabuhan dan warisan budaya yang unik, katanya, Pulau Pinang mempunyai potensi besar untuk terus muncul sebagai destinasi pelayaran bertaraf dunia.
— BERNAMA

