
PRN Sarawak: 33 Pejabat Japen terbuka buat pengamal media
KUCHING, 9 Dis — Jabatan Penerangan (Japen) membuka semua 33 pejabatnya di Sarawak kepada pengamal media yang bertugas semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 dalam usaha membantu mereka membuat liputan.
Pengarah Japen Sarawak Suwadi Guliling berkata pengamal media boleh ke sana untuk menggunakan kemudahan Internet dan mendapatkan maklumat mengenai PRN negeri itu.
“Kita faham geografi Sarawak yang luas serta liputan Internet kurang baik di sesetengah kawasan. Japen mempunyai 33 pejabat di seluruh Sarawak dan media boleh datang bertanya kepada Pegawai Japen daerah (untuk dapat maklumat).
“Kita (Japen) merupakan penjawat awam dan sesiapa yang datang bertanya (ke pejabat Japen) patut diberi perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media PRN Sarawak Zon Kuching di sini hari ini.
Beliau berkata bagi PRN Sarawak kali ini, tiga pusat media diwujudkan mengikut zon iaitu di Hotel Harbour View di Kuching, Hotel Paramount di Sibu dan Hotel Nur di Miri. Suwadi berkata pusat media itu ditubuhkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Japen bagi memberi kemudahan kepada para media yang membuat liputan PRN Sarawak.
“Kita juga sediakan kemudahan Internet selain menyediakan maklumat seperti calon yang bertanding dan aktiviti calon kepada media. “Kita harap pusat media ini bakal memberi kemudahan kepada pengamal media dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak sendiri,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 18 Dis sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sarawak ke-12.
— BERNAMA