Hero Bowling Team pamer aksi cemerlang pada SHTC 2026 di Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa

HomeFeaturedSukan Dan Kesihatan

Hero Bowling Team pamer aksi cemerlang pada SHTC 2026 di Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa

KUCHING: Juara bertahan, Hero Bowling Team dari Sarawak, memulakan langkah cemerlang pada Sarawak Hornbill Team Cup 2026 (SHTC 2026) yang memulakan sa

‘Saya rasa lengkap sebab suami ada di sebelah’ – Sherine Wong
Belia berkemahiran dalam bidang binaan diseru mohon lesen G1 – Ahmad Maslan
Kuih talam Mak Njang Mengubat kerinduan tambah lagi diBulan Ramadan

KUCHING: Juara bertahan, Hero Bowling Team dari Sarawak, memulakan langkah cemerlang pada Sarawak Hornbill Team Cup 2026 (SHTC 2026) yang memulakan saingan di Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa pada Rabu.

Mereka mendahului saingan awal menerusi gandingan Daniel Tan Yan Han dan Bong Kihow dalam acara doubles medium oil 42’.

Tan–Bong mencatatkan keseluruhan 1,754 jatuhan pin dalam empat permainan untuk mengutip 15 mata.

Pasukan Wipers Girls dari Kuala Lumpur, Ng Ai Shan dan Ayra Deliza Mohd Kamarul Azizi, mencatat 1,713 pin untuk berada di tempat kedua, manakala Aiden Lim Zen Tao–Muhd Hafiz Darwisy Azhlan dari Penand Boys B menamatkan saingan di tempat ketiga selepas menewaskan Musayyar Khalid–Abang Afiq Yazid Abang Azman dari Sunway Megalanes 37-35 menerusi penentuan satu bola.

Kedua-dua pasangan terikat dengan 1,700 pin selepas empat permainan.

Dalam acara doubles long oil 49’, kapten merangkap pengurus pasukan Melvin Gilbert Gimang dan Chong Jun Foo menjatuhkan 1,757 pin untuk menamatkan saingan di tempat keempat, menyumbang lima mata dan meletakkan Hero Bowling di kedudukan teratas keseluruhan.

Amin Zulkarnain Zulkifli dan Muhd Amin Symir Safri dari Wipers Mixed Kuala Lumpur (gambar) muncul juara acara tersebut dengan 1,948 pin, manakala Eldred Kho Yek Zhen–Ethan Damien Goh Chen Ming dari MSNS-ABAS Sarawak 1 berada di tempat kedua dengan 1,842 pin.

Penang Boys B yang diwakili Muhd Akif Darwish Dzulhakimy dan Muhd Eikshan Mohd Erwan menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 1,787 pin.

Bong Kihow mengaitkan kemenangan mereka pada corak minyak sederhana 42 kaki dengan perancangan rapi, kerja berpasukan serta keputusan penting pada saat akhir.

Beliau berkata strategi pasukan membuahkan hasil sepanjang tiga permainan pertama dengan pergerakan bola yang tepat serta maklum balas berterusan daripada Melvin.

Namun, peralihan mencabar pada permainan terakhir memaksa perubahan berani dilakukan.

“Saya menukar kepada bola yang sebenarnya tidak dirancang untuk digunakan, dan nasib menyebelahi kami kerana ia berkesan,” katanya sambil menambah beliau melakukan strike berturut-turut untuk mengesahkan kemenangan.

Bong menyifatkan keputusan itu sebagai permulaan kukuh dalam mempertahankan kejuaraan, namun menegaskan cabaran lebih getir menanti selepas ini.

Sementara itu, Amin Zulkarnain dan Muhd Amin Symir menganggap kemenangan mereka sebagai satu kejutan manis.

Mengakui hadir tanpa jangkaan tinggi dalam keadaan corak minyak sederhana yang mencabar, pasangan itu bergantung kepada pelaksanaan tenang dan kerjasama mantap untuk menampilkan prestasi konsisten sepanjang format empat permainan.

Muhd Amin Symir berkata fokus mereka hanyalah untuk kekal tenang, bermain mengikut rentak sendiri dan saling menyokong sepanjang kejohanan.

Amin Zulkarnain pula menyifatkan kemenangan itu sebagai pembakar keyakinan, sambil menyatakan ia merupakan kali pertama mereka mencapai kejayaan sedemikian bersama.

Kedua-dua pemain menyatakan rasa gembira dengan prestasi keseluruhan yang melebihi jangkaan mereka sendiri.

Pasangan itu seterusnya akan memberi tumpuan kepada kategori trio esok dengan mengekalkan pendekatan tenang yang sama.

Mereka turut memuji kualiti lorong bertaraf antarabangsa serta penganjuran di Megalanes Sarawak, sambil menambah kemenangan tersebut merupakan penampilan podium pertama mereka tahun ini dan permulaan positif bagi musim baharu.

Dalam pada itu, Nurul Ayunni Junaidi dari Sabah mencuri tumpuan apabila mencatat permainan sempurna dalam acara beregu corak minyak panjang 49 kaki, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

-Agensi